Keadilan Perak Bidas Tindakan Kerajaan Negeri Hentikan Khidmat MPKK Semasa PKP

Reading Time: 2 minutes

IPOH | Tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) negeri Perak yang mengeluarkan notis penamatan khidmat Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh Perak di tengah-tengah penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah tindakan yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat, menurut Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak, Mohamad Arafat dalam satu kenyataan yang dihantar kepada pihak media hari ini.

Menurut Arafat, sejak PKP dijalankan, kebanyakan bantuan yang disalurkan daripada Pejabat Daerah dilaksanakan oleh MPKK di seluruh negeri ini.

Katanya lagi, walaupun kerajaan telah bertukar tanpa melalui mandat rakyat, semua MPKK telah menjalankan tugas mereka dan memberi kerjasama dengan baik, menjadi petugas barisan hadapan menghantar barangan bantuan dari rumah ke rumah kepada keluarga yang memerlukan.

“Keputusan dengan meminta Penghulu Mukim melaksanakan tugas sebagai Ketua Kampung sementara Ketua Kampung yang baharu dilantik adalah tindakan yang kurang bijak.

“Sebagai contoh di Daerah Kinta sahaja mempunyai 70 MPKK tradisi yang mana ketiadaan MPKK akan menyukarkan Penghulu dan Pegawai Daerah dalam melaksanakan bantuan rakyat dan akan melewatkan dalam penyelesaikan masalah rakyat yang berbangkit ketika negara dan negeri sedang bergelut dengan penularan Covid-19 dan PKP,” katanya dalam kenyataan itu.

Beliau juga berkata proses pelantikan pengerusi baru mungkin mengambil masa kerana akan berlaku perebutan pembahagian kawasan MPKK seperti mana berlaku semasa penamaan calon Menteri Besar akibat perebutan jawatan MB dan EXCO dalam PN.

Pada 11 April (Sabtu), kerajaan negeri Perak mengeluarkan surat kepada semua pegawai daerah menyatakan tentang keputusan penamatan khidmat MPKK di seluruh negeri ini. Antara keputusan yang dibuat ialah penamatan khidmat semua pengerusi, setiausaha dan biro/AJK MPKK termasuk Kampung Baru dan Kammpung Baru India berkuatkuasa 30 April 2020.

Semua pegawai daerah juga diarahkan mengemukakan senarai pencalonan baru MPKK dengan kerjasama setiap ADUN di setiap daerah. Sehingga ketua kampung yang baru dilantik, Penghulu Mukim akan menjalankan tugas Ketua Kampung.

Sementara Penghulu Mukim juga diarahkan membuat audit ke atas aset-aset milik MPKK dan mengemukakan laporan jika terdapat kehilangan.