MELAKA | Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat jika terdapat sebarang unsur rasuah membabitkan seorang Exco Perak.
“Oleh kerana laporan sudah dibuat, kita serah kepada SPRM sahaja. Ada dua isu iaitu tuduhan rasuah dan kebocoran (maklumat),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan berhubung seorang Exco Kerajaan Negeri Perak yang didakwa telah membocorkan kertas minit Mesyuarat Kerajaan Negeri, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata sehingga kini pihaknya belum menerima sebarang maklumat rasmi berhubung dakwaan berkenaan sama ada dari pihak yang melaporkan iaitu bekas pegawai khas exco terbabit mahupun Exco yang didakwa iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamahri.
“Abdul Yunus orang yang saya kenal dan beliau menjalankan tugas sebagai ahli berhormat dengan begitu baik,” katanya.
Semalam, Ahli Jawatankuasa KEADILAN Parit Buntar, Beh Yong Kean yang juga bekas pegawai khas Abdul Yunus, membuat laporan polis di IPD Ipoh mendakwa Exco berkenaan membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri, bagi mendapatkan komisen daripada dua syarikat pertanian.
Berikutan itu, Abdul Yunus yang dilaporkan sebagai menjelaskan perkongsian pelbagai maklumat dan data kerajaan negeri dibuat atas kapasiti sebagai wakil rakyat, dan penting untuk menyelesaikan pelbagai aduan, serta masalah rakyat di kawasan yang diwakilinya.
Sementara itu, ketika mengulas isu dalang yang dikenal pasti di sebalik pembikinan dan penyebaran video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri, Anwar menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu.
“Ya, saya baca kenyataan Ketua Polis Negara. Kita tunggulah laporan lanjut sama ada video itu benar bukan rekaan dan siapa yang dalangi serta siapa yang sebarkan. Pastinya itu dalam siasatan polis. Jadi tidak payahlah kita buat jangkaan yang terlalu banyak,” katanya.
Terdahulu, Anwar meluangkan kira-kira empat jam mengadakan pertemuan bersama Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri (MPN) Melaka di sini.
Beliau sebelum itu turut mengadakan pertemuan dengan komuniti nelayan di Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuala Linggi dan turut bertemu dengan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri.
—BERNAMA