Kematian Adib Akibat Perbuatan Jenayah – Koroner

Reading Time: 2 minutes

SHAH ALAM, 27 Sept (Bernama) — Mahkamah Koroner di sini hari ini memutuskan kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, tahun lepas adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu yang tidak diketahui.

Koroner Rofiah Mohamad yang mendengar prosiding inkues itu selama 41 hari bagi menentukan punca kematian Muhammad Adib, 24, berkata mahkamah menerima keterangan saksi ke-29, Pakar Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bahawa mangsa dihentak dan diseret keluar dari van bomba pada masa kejadian.

“Kecederaan ‘blunt chest trauma’ yang menyebabkan kematian Muhammad Adib bukan perbuatan sendiri tetapi impak perbuatan jenayah oleh lebih daripada dua individu,” katanya.

Beliau berkata keterangan saksi di tempat kejadian juga menunjukkan terdapat perbuatan memukul seseorang di kawasan di mana antara kira-kira 20 dan 30 orang berkumpul.

Mahkamah Koroner juga merumuskan kegagalan polis dan FRU dalam mengawal rusuhan turut menyumbang kepada kematian Muhammad Adib.

Rofiah berkata mahkamah menerima teori dikemukakan Prof Dr Shahrom bahawa kecederaan dialami Muhammad Adib adalah disebabkan perusuh menendang pintu van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang mengena dada Allahyarham sehingga menyebabkan Muhammad Adib tersepit.

Menurutnya, saksi itu juga memberitahu, Muhammad Adib sekali lagi ditarik dan perusuh kemudian menerajang pintu EMRS sekali lagi yang mengenai tangannya hingga menyebabkan luka seret.

“Oleh itu, teori terpelanting yang dikemukakan saksi ke-24, Dr Ahmad Hafizam Hasmi ditolak sepenuhnya,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia dan Peguam Negara untuk melakukan sisatan dan pendakwaan.

Turut hadir berada di galeri awam, tunang Adib, Nurul Najihah Mohd Radzi.

Pada 27 Nov lepas, Muhammad Adib yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Dis lepas di Institut Jantung Negara (IJN).

Sebanyak 30 saksi dipanggil termasuk beberapa saksi pakar memberi keterangan sepanjang inkues itu yang bermula pada 11 Feb lepas.

Antara saksi pakar yang dipanggil adalah Pakar Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Dr Ahmad Hafizam Hasmi, Perunding Kardiotorasik Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) Dr S.Anand dan Perunding Kanan Patologi Forensik United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid.

Sebanyak 137 bahan bukti dikemukakan dengan pelbagai hujahan dilontarkan oleh pihak terlibat sebelum prosiding berkenaan ditutup pada 24 Julai lepas.

Inkues dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya selaku pegawai pengendali Faten Hadni Khairuddin, manakala peguam yang mewakili keluarga Muhammad Adib, Syazlin Mansor, Mohd Kamaruzaman Abdul Wahab, Ahmad Taufiq Baharum, Yahaya Othman dan Zamri Ibrahim.

Sementara itu, peguam mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JBPM) adalah Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Mazlifah Ayob daripada Jabatan Peguam Negara.

— BERNAMA