Kenyataan MB Perak Dakwa Mendapat Sokongan Meragukan – Saarani

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kenyataan oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri ahmad Faizal Azumu yang mendakwa beliau masih mendapat sokongan majoriti sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang adalah meragukan, kata Ketua Pembangkang Dewan Negeri Perak, Dato Saarani Mohamad.

Menurutnya, keputusan parti PPBM mengisytiharkan keluar dari PH pada 23 Februari lalu diikuti perletakan jawatan Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad menyebabkan beberapa kerajaan negeri yang dipimpin PH turut tumbang kerana kehilangan sokongan majoriti.

Kesangsian itu timbul ekoran kenyataan ADUN Tebing Tinggi yang juga Naib Pengerusi DAP Perak, Abdul Aziz Bari bahawa kerajaan PH telah runtuh manakala Menteri Besar kehilangan sokongan majoriti di dalam Dewan.

“Oleh itu, beliau mesti tampil membuktikan bahawa dirinya masih lagi mendapat sokongan majoriti ADUN”, menurut kenyataan Saarani bertarikh 25 Feb.

Menurut Perkara 16 2(a) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, Menteri Besar mesti “mendapat kepercayaan sebahagian besar daripada Ahli- Ahli Dewan Negeri.”
Untuk rekod, Pakatan Harapan Negeri Perak sebelum ini mempunyai 31 daripada 59 kerusi DUN iaitu DAP memiliki 18 kerusi, Parti Amanah Nasional (6), Parti keadilan Rakyat (4), PPBM (2) dan seorang ADUN Bebas.

“Berdasarkan situasi politik terkini, tiada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti mencukupi untuk membentuk kerajaan.

“Oleh yang demikian, Muafakat Nasional Negeri Perak mengesyorkan bahawa langkah mengembalikan semula mandat kepada rakyat adalah jalan terbaik untuk menegakkan sistem demokrasi,” kenyataan itu dipetik.

Katanya, Muafakat Nasional Negeri Perak akan memohon mengadap Sultan Perak untuk menyembah maklum tentang situasi politik terkini.