PARIT BUNTAR | Kerajaan negeri sedia bekerjasama dengan pihak swasta yang berminat untuk membangunkan kawasan Ban Pecah, Tanjung Piandang di sini sebagai destinasi pelancongan menarik di Perak, seperti yang dipetik dari portal berita nasional Bernama hari ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan negeri Abdul Yunus Jamahri, pembangunan seperti itu perlu kerana kawasan tersebut menjadi tumpuan pengunjung sama ada dari dalam atau luar Perak.
Katanya antara kemudahan asas yang perlu dibangunkan serta ditambah adalah gerai makanan dan tempat parkir kenderaan kerana fasiliti sedia ada tidak mencukupi.
“Majlis Daerah Kerian (MDK) ada memohon peruntukan RM2 juta kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, tetapi masih belum diluluskan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan memancing di pantai Ban Pecah, di sini hari ini.
Ban Pecah adalah antara destinasi popular bagi kaki pancing dan juga lokasi menarik bagi jurugambar perkahwinan kerana pemandangan laut yang sangat cantik terutama sewaktu matahari terbenam.