Kerajaan Perak Buat Empat Penambahbaikan Sidang DUN

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Ibarat kata pepatah `Lain Padang, Lain Belalang’, negeri-negeri lain di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan masing-masing mempunyai pendekatan tersendiri dalam mengendali dan memastikan proses persidangan Dewan Undangan Negeri berjalan lancar dan baik.

Di Perak, kerajaan negeri PH membuat empat perubahan bagi penambahbaikan semasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mula bersidang Isnin ini.
Menurut Speaker DUN Perak, Datuk Ngeh Koo Ham antara empat perubahan itu ialah pintu masuk ke Dewan Undangan Negeri dikawal oleh pegawai-pegawai Keselamatan Dewan dan bukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

 

“Perubahan ini perlu supaya ia tidak timbul persepsi negatif bahawa DUN Perak adalah dibawah jagaan dan kawalan sebuah agensi pihak Eksekutif.

“Kita tidak mahu insiden yang berlaku pada 7 Mei 2009 dimana pihak polis telah menyerbu masuk Dewan Undangan Negeri dan secara paksa telah mengusung keluar Yang Dipertua Dewan daripada Dewan Undangan Negeri.

“Insiden tersebut merupakan titik hitam sejarah DUN Perak dan insiden sedemikian tidak harus berlaku,’’ katanya kepada pemberita dalam satu sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Ngeh berkata, tiga lagi perubahan ialah penambahan masa perbahasan sebanyak 50 peratus untuk ketua pembangkang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan sesi soal jawab.

Menurut beliau, masa yang ditetapkan untuk Ketua Pembangkang berbahas telah ditambah daripada 40 minit kepada sejam, ADUN daripada 20 minit ke 30 minit dan masa sesi soal jawab daripada sejam ke satu setengah jam.

Kedudukan ketua pembangkang DUN yang diberi pengiktirafan secara rasmi oleh kerajaan negeri dimana menerusi pengiktirafan itu Ketua Pembangkang akan diberi kemudahan sebuah pejabat, kereta rasmi dengan seorang pemandu, dua pegawai dan elaun tambahan setiap bulan berkuatkuasa 1 Ogos 2018.
Beliau turut mengumumkan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak, Datuk Saarani Mohamad yang juga ADUN Kota Tampan telah dicalonkan sebagai Ketua Pembangkang.

“Dalam sistem demokrasi, pihak pembangkang tidak patut dianggap sebagai musuh tetapi dihormati kerana memainkan peranan yang telah ditetapkan dalam sistem demokrasi.

“Perubahan dan pembaikan ini amat memuaskan hati saya kerana saya telah memperjuangkan pengiktirafan ini sejak 2004 apabila menjadi ADUN kawasan Setiawan.

“Pengiktirafan ini telah dibuat pada tahun 2008 apabila Pakatan Rakyat menjadi kerajaan negeri sebelum ia digulingkan pada 6 Februari 2009 oleh Barisan Nasional,’’ katanya.

Menurut beliau, pihak media diberikan akses terus dan liputan secara langsung persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Pihak media akan diberi kebebasan untuk membuat liputan sepanjang masa persidangan,’’ katanya.

Sehubungan itu Ngeh berharap semua ADUN daripada kedua pihak kerajaan dan pembangkang akan melaksanakan tugas mereka dengan baik sepanjang persidangan itu nanti. Beliau berkata, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan persidangan Dewan pada Isnin diikuti persidangan seterusnya pada 7, 8, 9 dan 13 Ogos.