Kes Keracunan: MARA Diberi Tempoh Tujuh Hari Tukar Segera Kontraktor Pengendali Makanan

Reading Time: < 1 minute

IPOH: MARA diberi tempoh tujuh hari supaya menukar segera kontraktor dewan makan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping susulan kes keracunan makanan melibatkan 103 pelajar sekolah tersebut kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia, Hal Ehwal Pengguna dan Integrasi Nasional, A. Sivanesan menegaskan, jika kontraktor terbabit tidak ditukar, kerajaan negeri tidak akan bertanggungjawab sekiranya berlaku lagi kes keracunan makanan di sekolah berkenaan.

Katanya, pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) perlu membatalkan segera kontrak pembekalan makanan kontraktor pengendali makanan dewan sekolah itu selepas dua kes keracunan makanan berlaku dalam tempoh tiga minggu.

“Kontraktor itu memperoleh lanjutan kontrak selama enam bulan selepas kontrak asal mereka tamat pada 31 Julai lalu.

“Jadi, kita memohon agar unit undang-undang MARA mengkaji semula kontrak lanjutan yang telah diluluskan kepada kontraktor itu.’’ Katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Sivanesan juga memberitahu pemberita susulan kes keracunan itu, kerajaan negeri akan mengheret kontraktor terbabit ke mahkamah sekiranya masih meneruskan operasi selepas premis dapur dewan sekolah itu ditutup selama dua minggu.

Sivanesan juga berharap agar pihak MARA mendapatkan senarai pengendali makanan daripada Jabatan Kesihatan sebelum melantik kontraktor baharu.

“Aspek keselamatan penyediaan makanan di sekolah perlu diambil berat dan kerajaan negeri tidak akan bertoleransi dengan perkara yang melibatkan kesihatan pelajar,’’ tegasnya.

Semalam akhbar melaporkan rojak mi yang disediakan di dewan makan asrama sekolah itu dipercayai tercemar menjadi punca 103 pelajar mengalami sakit perut, cirit-birit dan muntah pagi kelmarin.

Dalam kejadian itu, seramai 593 pelajar yang tinggal di asrama sekolah berkenaan menikmati hidangan kudapan malam mi rojak pada pukul 11 malam Selasa lalu namun, hanya 103 pelajar yang mengalami gejala keracunan makanan.