Kes Konsultan PEKA: SPRM Kenalpasti Tuntutan RM9.18 Juta Meragukan

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri Perak telah mengenalpasti sebanyak RM9.18 juta sebagai jumlah keseluruhan bagi tuntutan yang disyaki meragukan dalam siasatannya berhubung kes tuntutan palsu oleh sebuah konsultan bagi Pusat Kerjaya Amanjaya (PEKA).

Menurut Pengarah SPRM Negeri, Datuk Zainul Derus, daripada jumlah tersebut ianya dikategorikan kepada tiga jenis tuntutan, iaitu tuntuan bulanan perkhidmatan konsultan berjumlah lebih kurang RM8 juta, tuntutan bayaran sewaan premis, bil-bil utiliti dan lain-lain bayaran berjumlah RM1.14 juta serta tuntuan ke atas program yang dikesan gagal dilaksanakan berjumlah RM40,000.

Beliau menjelaskan, kesemua bayaran tuntutan tersebut dibuat bagi tempoh lima tahun. Bagaimanapun katanya, jumlah tersebut merupakan jumlah keseluruhan tuntutan yang dibayar dan pihaknya masih belum mengenal pasti bahagian tuntutan yang didakwa melibatkan pemalsuan.

“Ini adalah penemuan awal. Jadi, kita akan adakan semakan dengan teliti. Mana-mana perkara yang terlibat dengan tuntutan palsu, kita akan adakan tindakan susulan dengan kes,” kata Zainul kepada pemberita di Pejabat SPRM Perak, Meru pada Jumaat.

Antara lokasi yang digeledah SPRM semalam ialah Pejabat PEKA, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Bangunan Institut Darul Ridzuan, Bangunan Pusat Transfomasi Bandar (UTC) Ipoh, Majlis Bandaraya Ipoh serta pejabat syarikat konsultan yang disyaki terlibat, Innovatis Sdn Bhd di Petaling Jaya, Selangor.

Zainul menambah, antara yang turut dirampas dalam operasi tersebut ialah invois tuntutan, baucar-baucar bayaran, surat-surat yang berkaitan, dokumen-dokumen serta surat perjanjian.

Beliau berkata, suspek berusia 43 tahun yang baru saja ditamatkan perkhidmatannya sebagai Pengerusi PeKA pada Jun yang lalu juga adalah pemilik syarikat Innovatis Sdn Bhd. Mahkamah majistret Ipoh hari ini telah memerintahkan suspek direman tujuh hari bermula hari ini. SPRM membawa suspek dari pejabatnya di Petaling Jaya ke Pejabat SPRM Perak semalam dan kemudian ditahan pada jam 3.50 pagi.

Zainul berkata pihaknya dijangka akan memanggil 30 orang saksi lagi bagi melengkapkan kertas siasatan dan membayangkan kemungkinan akan turut memanggil ahli-ahli lembaga pengarah PEKA.

Menurut beliau, SPRM Perak tidak menafikan kemungkinan terdapat syarikat konsultan lain juga yang terlibat, selain daripada Innovatis Sdn Bhd.

Bagaimanapun, menurut Zainul, penahanan ini adalah untuk membantu siasatan. Katanya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 iaitu, mengemukakan tuntutan palsu.

 

 

https://www.facebook.com/471550469955755/videos/521902188253916/