IPOH: Kerajaan Perak menyumbang RM50,000 kepada Kuil Kallumal Arulmigu Subramaniar di Gunung Cheroh sempena sambutan perayaan Thaipusam hari ini.
Menurut Menteri Besar Perak, Dato Seri Ahmad Faizal Azumu, sumbangan itu akan disalurkan melalui Unit Hal Ehwal Bukan Islam Negeri.
Katanya, ia merupakan sebahagian daripada dana yang telah diperuntukkan kepada unit tersebut seperti mana yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Negeri 2019 tahun lalu.
“Saya merasa gembira kerana perayaan Thaipusam yang disambut di sini pada tahun ini sangat meriah apabila melihat pihak swasta turut membantu menyumbang makanan kepada pengunjung.
“Malah ada juga agensi kerajaan yang terlibat sama,” katanya kepada pemberita dalam lawatan pertamanya sebagai Menteri Besar Perak di kuil itu pada Isnin.
Hadir sama, isteri Menteri Besar, Datin Seri Dr Nomee Ashikin Mohammed Radzi; Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar dan Ahli Parlimen Ipoh Barat, M. Kula Segaran.
Semasa berucap di hadapan kira-kira 5,000 penganut Hindu yang berada di dalam kuil tersebut, Ahmad Faizal meminta semua pihak terus menjaga hubungan perpaduan antara kaum di negara ini dan khususnya di negeri ini.
“Kita sepatutnya berasa syukur kerana di Malaysia dan di Perak ini, kita dapat merayakan perayaan Thaipusam dalam suasana aman dan harmoni,’’ katanya.