Kerajaan Suntik RM20B Rancakkan Ekonomi, Tambah BSH – PM

Reading Time: 2 minutes

KUALA LUMPUR |  Kerajaan hari ini mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bernilai RM20 bilion yang ditunjangi tiga strategi utama bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 ketika ini dapat ditangani dengan berkesan, lapor Bernama.

Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad berkata tiga strategi tersebut ialah menangani impak COVID-19, memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat dan menggalakkan pelaburan berkualiti untuk memastikan ekonomi negara berada di landasan yang mampan.

“Selain merangsang pelancongan dan modal insan, pakej ini juga memberi fokus membantu aliran tunai dan mengurangkan kos perniagaan bagi syarikat yang terjejas oleh COVID-19,” katanya dalam ucapan beliau ketika mengumumkan pakej rangsangan ekonomi 2020 yang bertemakan “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan”, di sini, hari ini.

Ini merupakan pakej rangsangan berkaitan krisis kesihatan global yang kedua bagi Dr Mahathir selepas 2003 apabila beliau sebagai Perdana Menteri keempat Malaysia pada masa itu membentangkan pakej ekonomi RM8.1 bilion untuk menangani kesan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) ke atas ekonomi.

Berikut langkah-langkah yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi 2020:

1) Bayaran one-off sebanyak RM600 kepada pemandu teksi, pemandu bas pesiaran, pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar.

2) Elaun khas RM400 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan yang terlibat secara langsung dalam menangani wabak Covid-19.

3) Bayaran RM200 untuk kakitangan imigresen dan kakitangan barisan hadapan yang terlibat dalam membendung Covid-19 dari Februari 2020 sehingga wabak berkenaan berakhir.

4) Bantuan Sara Hidup (BSH) yang sepatutnya diberikan pada Mei 2020 akan diawalkan iaitu pada Mac 2020.

5) Tambahan RM100 kepada setiap penerima BHS akan dikreditkan ke dalam akaun bank pada bulan Mei dan tambahan RM50 akan disalurkan secara e-tunai.

6) Pelepasan cukai individu sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan pelancongan dalam negeri.

7) Baucer digital bagi pelancongan domestik sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, keretapi dan penginapan di hotel berlesen

8) Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dikurangkan sebanyak empat peratus iaitu daripada 11 peratus kepada 7 peratus berkuat kuasa sehingga akhir tahun.