IPOH | Pergolakan politik yang sedang melanda negara hari ini berpunca dari tindakan salah satu parti dalam gabungan Pakatan Harapan bertindak keluar dari gabungan itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kinta, Mohamad Arafat dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Katanya, drama demi drama dari kumpulan ‘pengkhianat’ itu cuba memperbodoh dan mengelirukan rakyat. Mereka telah mengkhianati kepercayaan yang telah diberi oleh rakyat yang mengundi mereka dan mereka itu tidak layak digelar pemimpin.
“Pengundi kawasan masing-masing berhak mendesak pengkhianat² ini supaya letak jawatan serta merta kerana rakyat mengundi dan mereka menang atas logo KEADILAN-PH,” menurut kenyataan itu.
Arafat mendakwa kumpulan pengkhianat itu telah merancang awal dan tidak komited melaksanakan janji manifesto PH dengan niat mahu jejaskan imej PH.
Katanya lagi, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan PH telah bertolak ansur dan bersabar demi kepentingan rakyat dan negara tapi mereka mengkhianati demi kepentingan diri dan kroni mereka.
Tambahnya, pimpinan PH berusaha sedaya upaya untuk menggagalkan usaha untuk membentuk kerajaan ‘haram’ dan menjadi tanggungjawab bersama mempertahankan mandat rakyat.
Beliau berharap seluruh rakyat Perak khususnya bersabar dan berdoa supaya kerajaan pusat dan negeri yang mendapat mandat rakyat dalam PRU-14 dapat dipertahankan.