Khabar Gembira Buat Rakyat Perak Berpeluang Sambut Aidilfitri Peringkat Negeri di MAPS

Reading Time: < 1 minute

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengumum khabar gembira buat rakyat Perak apabila memberi peluang menyambut Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri di Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS), Meru Raya pada 1 Syawal bersamaan 15 Jun ini.

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Datuk Azumu berkata orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan itu yang bermula jam 3.00 petang sehingga 6.00 petang.
Menurut beliau, orang ramai berpeluang menggunakan kesemua kemudahan dan permainan yang terdapat di taman permainan itu secara percuma.

Katanya, selain menikmati pelbagai hidangan juadah hari raya pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan nyanyian artis-artis terkemuka tanah air.
“Saya menjangkakan kehadiran lebih daripada 20,000 ke 30,000 orang. Tempat letak kereta kita akan buka secara percuma dan jika berlaku limpahan kenderaan, kemungkinan kita akan buka kawasan lain sebagai parkir dan disediakan perkhidmatan ‘shuttle bus’,” katanya kepada pemberita di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Menurut Ahmad Faizal, MAPS dipilih sebagai lokasi majlis sambutan untuk memberi peluang kepada rakyat yang belum pernah memasuki taman tema berkenaan.

Ditanya mengenai kos, beliau berkata penganjurannya adalah lebih murah berbanding kos yang diadakan di Kediaman Menteri Besar semasa pentadbiran-pentadbiran kerajaan sebelum ini.
Katanya, selain itu ia dapat mengelak kesesakkan lalu lintas yang melampau di Bandaraya Ipoh pada hari raya nanti.