KKM Giatkan Usaha Kesan Jangkitan Di Kalangan Warga Asing

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meningkatkan usaha mengesan jangkitan koronavirus di kalangan pekerja asing terutama mereka yang berada di zon merah di Selangor dan Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga kini KKM telah menyaring 22,339 pekerja asing di mana 986 darinya didapati positif Covid-19.

“Sekarang KKM telah mengenal pasti bukan warga negara sebagai salah satu kumpulan sasaran, jadi kita akan laksanakan ujian kepada bukan warga negara terutama di zon merah di Selangor dan Kuala Lumpur. Di zon hijau tiada laporan bukan warga negara atau warga negara dijangkiti,” katanya.

Beliau menambah, bahawa tempat tinggal yang sempit adalah salah satu sebab yang menyumbangkan wabak di kalangan pekerja asing.

“Masalah utama ialah mereka tinggal bersesak-sesak dalam keadaan sempit di rumah atau pangsapuri, dan mereka tidak hanya bekerja di satu sektor. Sebahagiannya bekerja di pasar borong dan beberapa di tapak pembinaan. Jadi, masalahnya adalah mereka semua duduk sekali dan mungkin rumah terlalu padat dan kita kena buat saringan, ā€¯katanya.

Sementara itu, Noor Hisham berkata jangkitan di kalangan warga tempatan masih terkawal ekoran pendekatan berfokus yang dijalankan KKM.

“Kami guna kaedah ini terhadap kumpulan seperti Seri Petaling, tahfiz dan pekerja asing. Ini adalah tiga kumpulan sasaran dan kami telah kenal pasti lokaliti dan akan ambil tindakan.

“Hari ini kita ada 45 kes, masih 2 digit dan terkawal. Kalau kita lihat PKP tahap 3, kita telah mencapai 2 digit, kita harap dalam minggu depan angka akan berkurang,” katanya.