Koronavirus: 57 Kes Baru, Hanya 4 Libatkan Warga Tempatan

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 31 Mei (Bernama) | Sebanyak 57 kes positif COVID-19 baharu yang dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan jumlah kumulatif terkini ialah 7,819 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada 57 kes baharu yang dilaporkan, 10 adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 47 kes penularan tempatan, 43 adalah kes bukan warganegara manakala kes penularan tempatan dalam kalangan warganegara adalah empat kes sahaja,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19 di sini hari ini.

Tiada kes kematian dicatatkan hari ini dan jumlah kumulatif yang meninggal dunia kekal pada 115.

Susulan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,351 dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.