LUMUT | Lapangan Terbang Pangkor yang dijadualkan dibuka semula pada 1 Oktober (semalam) terpaksa ditunda berikutan pesawat masih menunggu untuk pemeriksaan keselamatan dan teknikal.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri Tan Kar Hing berkata, bagaimanapun proses pembukaan semula lapangan terbang itu berjalan lancar dengan kerajaan negeri dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) sudah bersedia daripada segi infrastruktur serta menaik taraf lapangan terbang.
Katanya, syarikat penerbangan, SKS Airways Sdn Bhd juga sudah menyediakan ruang pejabat mereka di lapangan terbang mendarat dan berlepas pendek (STOL) Pangkor berkenaan.
“Cuma sekarang saya dimaklumkan pesawat masih menunggu untuk pemeriksaan keselamatan dan teknikal.
“Mereka memaklumkan akan beroperasi apabila sudah selesai (pemeriksaan selesai dijalankan),” katanya ketika dihubungi oleh Bernama semalam.
Sebelum ini, media melaporkan lapangan terbang berkenaan akan beroperasi semula pada 1 Oktober 2019 dan pembukaannya dijangka akan merancakkan lagi pelaksanaan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai bermula 1 Januari 2020.
Lapangan Terbang Pulau Pangkor telah dibuka sejak tahun 1993 sebelum berhenti beroperasi pada Februari 2014 dengan landasan kapal terbang sepanjang 732 meter.
— Bernama