Majikan Mohon Kerajaan Kategorikan Sektor Perkhidmatan Ke Dalam 3D

Reading Time: 2 minutes

Pengumuman terbaru kerajaan berhubung Pelan Rekalibrasi Pulang dan Tenaga Kerja pada 21 Oktober 2020 umumnya disambut baik dan melegakan oleh semua majikan serta pekerja asing kerana ia mampu menyelesaikan segala masalah yang sekian lama menghantui rakyat Malaysia dan pekerja asing itu sendiri.

Namun begitu menurut seorang pengusaha restoran yang juga majikan serta pemimpin badan bukan kerajaan (NGO), Sahul Hamid bin Rowther Mohamed Bawa, beliau berpandangan bahawa cadangan kerajaan itu masih perlu penambah-baikan segera.

Menurutnya, hanya empat sektor sahaja dibenarkan iaitu sektor bersifat
3D iaitu merbahaya (dangerous), sukar (difficult) dan kotor (dirty) termasuk pembinaan, perkilangan, perladangan dan pertanian.

Apa yang beliau pertikaikan ke mana satu lagi sektor iaitu sektor perkhidmatan yang tidak disenaraikan dalam Program Rekalibrasi ini.

Katanya, sektor perkhidmatan juga sebenarnya termasuk dalam kategori 3D iaitu;

  1. perkhidmatan pencucian dan pembersihan
  2. perkhidmatan kargo
  3. perkhidmatan di restoran-restoran dan stesen minyak
  4. perkhidmatan memotong rumput dan pokok-2 besar di jalanan di dalam dan luar bandar

“Apa yang jelas, keempat-empat sektor perkhidmatan ini termasuk dalam kategori 3D dan amatlah sukar untuk mendapatkan pekerja rakyat tempatan kerana sememangnya rakyat tempatan tidak begitu berminat menceburi kerjaya ini walaupun mereka ditawarkan gaji yang lumayan,” jelas Sahul.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan kerana membenarkan pekerja asing (PATI) yang telah tinggal lama di negara ini diberi peluang khas untuk program ini.

“Pujian harus diberi kepada kerajaan hari ini di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin serta Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin atas keprihatinan dan kepekaan terhadap rakyat asing walaupun mereka ini merupakan PATI… Tabik kepada Tan Sri dan Datuk Seri.

Sahul juga dengan rendah diri meminta kerajaan agar dapat memberi pertimbangan sewajarnya tentang kadar bayaran yang dikenakan bagi kos Program Rekalibrasi Tenaga Kerja sehingga tidak membebankan semua pihak. Beliau mempunyai cadangan berkenaan perkara berikut:-

  1. perihal deposit RM500
  2. perihal kompaun RM1,500
  3. tentang lain-lain bayaran

“Apa yang hendak saya bangkitkan di sini dalam tempoh dari Februari 2020 sehingga kini negara masih lagi dalam cengkaman Covid-19 malah melibatkan seluruh dunia sehingga banyak kilang dan industri mengurangkan pengeluaran mereka serta tidak kurang juga terpaksa gulung tikar.

“Ini menyebabkan rakyat tempatan serta pekerja asing hilang mata pencarian sejak gejala Covid-19 ini meletus.

“Yang ingin saya sentuh di sini agar kerajaan dapat menerima pandangan saya iaitu bagaimanakah kemampuan syarikat-syarikat dan perusahaan serta industri untuk memenuhi syarat-syarat kos bayaran ini?, “soalnya.

Seterusnya Sahul mencadangkan pihak kerajaan memberi perhatian terhadap beberapa perkara berikut supaya tidak membebankan para majikan dalam tempoh pandemik iaitu;

  • bayaran Levi – RM1,350
  • yuran pemprosesan – RM125
  • Visa Fee mengikut negara – RM20
  • Insurance Guarantee (IG) mengikut negara – RM60
  • SPIKPA Fee – RM140
  • Medical Fee – RM180
  • Kompaun – RM300
  • Special Pass – RM100
    Jumlah RM2,275

Harapan beliau agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangannya supaya para majikan tidak terbeban dan secara otomatik kerajaan dapat menyelesaikan permasalahan yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini.