Malaysia Airlines Tawar Diskaun Hingga 35 Peratus

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR, 1 Jan — Jualan tahun baharu Malaysia Airlines bermula esok, dengan tawaran diskaun tambang sehingga 35 peratus bagi Kelas Ekonomi dan Perniagaan.

Tawaran berlangsung sehingga 20 Jan 2020 untuk perjalanan sehingga 31 Dis, 2020.

Ini bermakna, tambang kelas ekonomi ke Pulau Pinang, Langkawi dan Johor Bahru masing-masing bermula dari RM89, Kuching dari RM129, Kota Kinabalu dari RM179, Phuket dari RM219, Jakarta dari RM229 dan Bangkok dari RM259.

Mereka yang berhasrat memulakan tahun 2020 untuk meneroka budaya dan tempat baharu, boleh mengunjungi destinasi di India, China, Korea dan Australia, dengan kelas ekonomi dua hala ke Chennai dari RM899, Kochi dari RM699, Shanghai dari RM1,199, Seoul dari RM1,399, Brisbane dari RM1,599, London dari RM2,899 dan Auckland dari RM2,999, menurut Malaysia Airlines dalam kenyataan.

Selain itu, Malaysia Airlines juga akan menawarkan tawaran nilai bundle hebat kepada pelanggan, dengan diskaun 20 peratus.

Menerusi nilai bundle ini, penumpang layak mendapat tambahan 10kg bagasi dengan kerusi standard. Untuk pakej premium, penumpang layak mengakses KLIA Golden Lounge selain tempat duduk dengan ruang kaki tambahan, kata Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan Malaysia Airlines, Lau Yin May.

“Kami bangga menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2020, dengan tawaran itu merupakan perhubungan akhir untuk kebanyakan pelancong dari seluruh dunia, yang semestinya tertarik untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi percutian mereka seterusnya.

“Nikmati Hospitality Malaysia dari awal dan alami pengalaman budaya unik yang kami tawarkan, daripada fesyen tempatan sehinggalah kepada alam semula jadi,” katanya.

— BERNAMA