Mangsa Banjir di Perak Meningkat​

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

Bilangan mangsa banjir di Perak meningkat kepada 182 orang daripada 47 keluarga yang ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah setakat jam 9 malam ini.

Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Perak, Zairil Anuar Zulmuji, berkata pertambahan membabitkan 28 orang daripada enam keluarga berbanding 154 mangsa daripada 41 keluarga yang dilaporkan pagi tadi.

“Terbaru, satu PPS dibuka di Dewan Orang Ramai Kampung Matang Tengah di daerah Kerian yang menempatkan 22 mangsa daripada empat keluarga.

“Sebuah lagi PPS turut dibuka di daerah sama di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak yang menempatkan 14 mangsa daripada lima keluarga,” katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Zairil Anuar berkata, Kerian menjadi daerah terbaru dilanda banjir selepas hujan lebat sejak petang tadi menyebabkan paras Sungai Kerian meningkat dan melimpah ke perkampungan penduduk.

Beliau berkata, bilangan mangsa banjir di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di daerah Hilir Perak bagaimanapun menurun kepada 60 mangsa daripada 14 keluarga, berbanding 68 orang daripada 17 keluarga pagi tadi.

Katanya, bagi daerah Taiping, mangsa di SK Temerlok Trong kekal 38 orang daripada 12 keluaga ditempatkan di pusat pemindahan sejak awal pagi tadi.

“Bagi daerah Manjung, mangsa banjir di PPS Sekolah Agama Rakyat (SAR) Padang Serai tidak berubah iaitu 48 mangsa daripada 12 keluarga,” katanya.

Sumber – Malaysian Response Team II