MAPS Tidak Akan Ditutup – Dato’ Seri Ahmad Faizal

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Taman Tema Movie Animation Park Studio (MAPS) tidak akan ditutup malah akan meneruskan operasinya sebagai salah satu destinasi tarikan pelancong di negeri Perak.

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan sebenarnya pihak pengurusan telah melakukan yang terbaik dan sehingga kini jumlah pengunjung ke taman tema tersebut telah meningkat dengan mendadak.

“Ini pencapaian yang membanggakan dan saya percaya jika promosi berterusan dijalankan pihak pengurusan MAPS, saya percaya ia akan menjadi satu tarikan yang utama di Bandaraya Ipoh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran penerbangan Air Asia dari Ipoh ke Singapura di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh pada Isnin. Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Perak, YB Tan Kar Hing.

Menurut Ahmad Faizal, bagi menjayakan matlamat itu, kerajaan negeri boleh memikirkan tentang pelaburan yang baru dari pihak swasta.

“Buat masa ini desakan dan cadangan supaya MAPS ditutup bukan masa yang sesuai buat masa ini” katanya.

Terdahulu Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming pada satu sidang media bertegas mencadangkan supaya MAPS ditutup dan dijual kepada syarikat swasta bagi menguruskannya.

Beliau menyalahkan pengurusan pentadbiran kerajaan terdahulu yang menyebabkan MAPS menanggung kerugian besar sehingga mencecah RM470 juta.

“Kita cadangkan MAPS dijual menerusi tender terbuka kepada syarikat yang berkemanpuan menguruskannya dan kerajaan tidak perlu lagi menanggung beban hutang bank malah dapat terus meningkatkan kebajikan rakyat” katanya.

Menurut Nga Kor Ming, ini juga selaras dengan saranan yang dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed sebelum ini yang menegaskan pentadbiran kerajaan tidak boleh dibabitkan dalam perniagaan.