Mengundang Kemalangan di Sebalik Tanaman Pokok Hiasan

Reading Time: 3 minutes

Rakyat Perak khasnya warga Ipoh sememangnya berbangga atas kejayaan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang mendapat tempat pertama apabila mendapat markah tertinggi dalam Sistem Penarafan Bintang Pihak BerkuasaTempatan (SPB-PBT) di negara ini bagi tahun 2016.

Lebih membanggakan lagi apabila MBI mengetepikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Bandaraya Johor Bahru yang masing-masing berada di tangga kedua dan ketiga.

MBI sejak legasi kepimpinan beberapa Datuk Bandar terdahulu termasuk bekas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim dan sekarang Datuk Zambri Man sememangnya mencipta kejayaan dan kecemerlangan dalam mengurus tadbir MBI terutama dalam aspek penekanan kepada penjagaan kehijauan alam sekitar dan pembangunan Bandaraya Ipoh.

Justeru hasil gerak kerja baik kepimpinan mereka ini, Bandaraya Ipoh telah bertukar kepada bandaraya hijau dan membangun.

Namun isu yang timbul sekarang ini dan kini menjadi perbualan hangat warga Ipoh ialah isu penanaman pokok hiasan di serata simpang dan bulatan masuk ke bandaraya yang bukan lagi mendapat pujian malah menimbulkan kemarahan dan ketidakpuasan hati orang ramai.

Seorang pengguna jalan raya yang juga warga Ipoh, Sahul Hamid Rawther Mohamed telah tampil menegur secara terbuka pihak pentadbiran MBI disamping menganggap usaha penanaman pokok-pokok hiasan ini boleh diibaratkan sebagai ‘maut menanti di sebalik penanaman pokok hiasan’.

Katanya, sebagai pengguna jalan raya beliau menyaksikan begitu banyak pokok-pokok hiasan ini terutama di kawasan-kawasan simpang masuk ke bandaraya bermula dari jalan utama Ipoh-Lumut, simpang Medan Kidd bermula dari sekolah ACS, depan Angsana Mall ke Jalan Hospital, simpang masuk ke padang Polo dan sebagainya sudah tumbuh meninggi tanpa pemantauan sehingga menghalang pemandangan para pengguna kenderaan sekaligus boleh mengundang kesesakan jalan raya dan kemalangan maut.

“Apabila berlaku kesesakan, pengguna kenderaan akan stress menyebabkan ada di kalangan mereka yang cuba bertindak agresif memotong kenderaan di hadapan sehingga mengundang kejadian kemalangan kecil dan besar,” katanya.

Beliau memberikan contoh penanaman pokok hiasan dalam pasu-pasu di kawasan jalan masuk ke bandaraya Ipoh menghalang pemandangan pemandu sehingga mereka terpaksa berhati-hati memperlahankan kenderaan sebelum meneruskan perjalanan.

“Sepatutnya  pokok-pokok hiasan yang menghalang pemandangan ini dipotong dan dipendekkan dalam jarak 30 meter sebelum memasuki simpang bagi mencegah berlakunya kesesakan jalan raya, kemalangan kecil dan besar,” katanya.

Sahul juga mempertikai langkah pihak MBI memasang cermin cembung keselamatan jalan jauh di kawasan-kawasan bulatan seperti di Medan Kidd yang difikirkan tidak sesuai.

“Setahu saya cermin keselamatan ini hanya diletakkan di kawasan bercerun dan berbukit seperti jalan-jalan di Cameron Highland bagi memudahkan pengguna jalan raya memantau pemandangan gerak kenderaan dari jauh.” katanya kepada Independent.my pada Ahad.

Justeru menurut Sahul lagi, dalam era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan usaha segera perlu diambil untuk mengurangkan penanaman pokok-pokok hiasan terutama di kawasan-kawasan persimpangan dan bulatan yang berisiko tinggi boleh mengundang kejadian kemalangan maut.

“Ini bukan bererti menafikan usaha MBI untuk menghijaukan kawasan Bandaraya ini tetapi yang lebih penting dan paling utama ialah menjaga keselamatan dan nyawa pengguna jalanraya.

“Langkah mengurangkan penanaman pokok-pokok hiasan ini juga akan dapat mengurangkan kos perbelanjaan di pihak MBI kerana ia selari dengan langkah kerajaan PH untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan,” ujarnya.

Beliau menganggarkan pihak kerajaan terpaksa berbelanja kira-kira RM100,000 sebulan dalam urusan penanaman pokok-pokok hiasan ini  dan peruntukan ini dapat dijimatkan sekiranya langkah mengurangkan penanaman pokok hiasan ini diambil segera.