IPOH: UMNO Perak semakin ‘gabra’ dan tertekan sehingga bertindak memainkan isu komplot menjatuhkan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu untuk menutup kelemahan dalaman parti.
Namun begitu Naib Pengerusi DAP Perak, Prof. Dr Abdul Aziz Bari menegaskan semua ADUN termasuk anggota Exco dalam pentadbiran Pakatan Harapan Perak tidak mudah termakan `perangkap’ yang kini dimainkan oleh UMNO Perak.
Beliau mendakwa Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamed sengaja mencetuskan spekulasi berhubung isu undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Perak bagi mengalih pandangan rakyat terhadap isu sebenar iaitu masalah dalaman yang berlaku sekarang dalam UMNO.
“Beliau ada muslihatnya sendiri. Dia nak menyelamatkan kawannya dari disoal oleh PAC (Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri).
“Mereka begitu gabra sekarang … dengan ahli-ahli parlimen, senator UMNO meninggalkan parti yang telah kita lihat begitu banyak berlaku.
“Di Perak sendiri, (ahli Parlimen) di Bukit Gantang, Bagan Serai, di Kedah, di Johor (dua ADUN Johor) dan di Kelantan baru-baru ini, seorang (bekas) menteri kanan meninggalkan parti. Di Sabah juga, dan di Sarawak, satu ‘kapal’ (meninggalkan parti) menubuhkan GPS, mereka begitu bimbang sekali ” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat DAP Negeri di Ipoh pada Jumaat.
Aziz juga berkata bukan anggota PH yang mahu mencuri ahli mereka tetapi sebaliknya ahli dari parti mereka yang ingin lari meninggalkan parti Melayu itu.
“Bukan kita nak pancing orang dia, bukan nak curi orang dia … orang dia nak lari, nak keluar, ini yang membimbangkan mereka.
“Jadi sebab itu saya rasa kita tak perlu terikut-ikut dengan permainan yang dibuat oleh Datuk Saarani bersama rakan dia dari Pangkor,” katanya lagi.
Justeru beliau menasihati Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamed supaya ‘tutup buku’ dan menghentikan sahaja permainan politik ‘kotor’ ini dan lebih memfokuskan usaha membantu rakyat.
Aziz seterusnya menegaskan Pakatan Harapan tidak melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang dan elemen jenayah.
“Saya dah sebut sebelum ini bahawa undi tidak percaya itu karut dan mengarut, tak boleh nak buat dan susah dibuat.
“Saya nak tanya Datuk Saarani bagi tahu saya bila masa berlaku undi tak percaya di Malaysia ni?
“Dia menuduh ahli Exco mengatur gerakan menjatuhkan Menteri Besar, ini satu perkara yang pelik ,,, gerakan ini maksudnya satu gerakan yang tersusun, kena ada duit, tenaga, kita ada banyak kerja dengan masalah ekonomi … kita tak ada masa nak buat kerja macam itu.
“Ini gimik UMNO Perak khususnya untuk melarikan diri dari masalah mereka sendiri, jadi saya fikir kita tak perlu layanlah, kita ada kerja lain (nak buat),” katanya
Sehubungan itu beliau menasihati Saarani supaya membuat laporan polis dan SPRM berhubung dakwaan kononnya wujud gerakan mahu menjatuhkan Menteri Besar Perak.