Masjid Abdul Rahman Auf Ambil Inisiatif Gerakkan Sumbangan Covid-19

Reading Time: 3 minutes

IPOH | Prihatin dengan keresahan dan kesukaran masyarakat yang terjejas sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ekoran wabak SARS-coV-2 (Covid-19), ahli jawatankuasa pengurusan Masjid Abdul Rahman Auf, Taman Rapat Koperasi telah mengambil inisiatif mewujudkan pasukan yang dinamakan Aktivis Covid-19 Maa’ruf untuk turut sama membantu mengurangkan beban yang dihadapi masyarakat setempat dengan mengedarkan sumbangan barangan keperluan asas.

Menurut ahli jawatankuasa khas masjid, saudara Saiful Bahiar bin Ibrahim, usaha yang dilakukan oleh masjid ini bukannya sesuatu baru malah pihak AJK masjid telahpun melaksanakan program pemberian sumbangan barangan keperluan asas sejak sebelum bermula wabak lagi.

“Usaha seperti ini telah bermula sejak tragedi banjir besar di Kelantan lagi. Pihak AJK masjid juga pernah menghantar barangan keperluan hingga ke Kerian Perak semasa musim banjir di sana,” kata Bahiar.

Penerima datang sendiri ke masjid menerima sumbangan barangan asas

Bercakap kepada Independent hari ini, sejak PKP dilaksanakan, ini merupakan siri ke-lima program penyerahan dijalankan oleh Aktivis Covid-19 Ma’aruf di mana terdapat 5 pasukan digerakkan dengan 2 orang dalam satu kereta. Selain penyerahan dari rumah ke rumah, ada juga penerima yang tinggal berdekatan dipanggil datang sendiri ke masjid untuk mengambil barangan. Bagi mereka yang tinggal di luar kariah masjid, pihak AJK mengeluarkan surat kebenaran yang dicop oleh Balai Polis Kg. Rapat melalui aplikasi Whatsapp dan jika mereka ditahan dalam sekatan jalan, mereka boleh menunjukkan surat kebenaran yang telah dihantar melalui Whatsapp tersebut.

Tambahnya, keutamaan diberi kepada penduduk di sekitar taman perumahan berdekatan masjid dan selepas itu jika berlebihan, barangan akan diagihkan ke luar kawasan seperti di Tambun, Buntong dan juga penduduk berdekatan Medan Gopeng.

“Setiap satu keluarga diberi barangan bernilai kira-kira RM50. Antara barangan tersebut ialah beras, minyak masak, bihun, tepung gandum, gula, susu, telur, biskut dan teh,” katanya.

Ditanya berkenaan kaedah pemilihan yang digunakan untuk memastikan hanya mereka yang layak menerima sumbangan, katanya, mereka merupakan keluarga yang memang dikenal oleh AJK masjid, ada yang telah dikenalpasti dan diketahui status ekonomi mereka dan ada juga yang disiasat latar belakang sebelum penyerahan boleh dilakukan.

Penyerahan kepada anggota polis dan tentera
Penyerahan air mineral kepada frontliners hospital

Selain penyerahan barangan keperluan asas, pihak Aktivis Covid-19 Ma’aruf juga turut menghantar minuman air mineral kepada pasukan ‘frontliners’ di hospital dan juga anggota polis dan tentera di pos-pos kawalan PKP.

Aktivis Covid-19 Ma’aruf diketuai oleh Razlan bin Abdul Rahim sebagai penyelaras Team 1, Hj. Abdul Jalil bin Tajuddin (penyelaras Team 2) dengan dibantu oleh Mohd Yazid bin Soib, Hj. Khalil Aznan bin Mohd Nor dan Bahiar serta beberapa ahli jawatankuasa lain.