Lapangan Terbang Taiping: MB Inc Nafi Serah Kepada Pemaju

Reading Time: 3 minutes

ULASAN | Selain isu wujud usaha kononnya mahu menjatuhkan Menteri Besar yang kini sudahpun reda, timbul pula laporan mengejutkan yang mendakwa kerajaan negeri Perak akan menyerahkan Lapangan Terbang Taiping kepada pemaju bagi pembangunan bercampur.

Isu kali ini menimbulkan banyak pertanyaan dalam kalangan rakyat yang ingin tahu apakah benar laporan berkenaan seperti yang dilaporkan sebuah portal baru-baru ini.

Susulan laporan portal yang dianggap mengejutkan itu, Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) telah tampil menafikannya.

MB Inc dalam satu kenyataan baru-baru ini memaklumkan pentadbiran terdahulu telah meluluskan tanah seluas 10 hektar di tapak bersejarah Lapangan Terbang Taiping di Tekah kepada pengurusan MB Inc bagi tujuan pembangunan dengan kerjasama pemaju swasta.

“Cadangan pembangunan bercampur itu telah diluluskan secara prinsipal oleh pentadbiran terdahulu dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan bertarikh 28 Mac 2018.

“Bagaimanapun, Menteri Besar Perak Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu telah membatalkan kelulusan berkenaan pada 16 Januari 2019,” katanya.

Tambahnya lagi, keputusan pembatalan berkenaan telah dimaklumkan kepada pengurusan baharu MB Inc oleh Pengarah Tanah dan Galian Perak melalui surat bertarikh 17 Januari 2019.

“Justeru, MB Inc ingin menjelaskan dakwaan syarikat ini akan menyerahkan tanah Lapangan Terbang Taiping kepada pemaju seperti yang dilaporkan adalah tidak benar sama sekali,” katanya.

Penjelasan yang dibuat MB Inc ini sekaligus melegakan rakyat Perak terutama  penduduk Taiping yang sebelum ini menzahirkan kebimbangan mereka bahawa Taiping bakal kehilangan lapangan terbang bersejarah gara-gara ia didakwa akan dipindahkan hak milik tanah kepada seorang pemaju tempatan bagi tujuan pembangunan.

Sejarah Ringkas Lapangan Terbang Taiping

Untuk maklumat pembaca, bagi rakyat Perak terutama generasi tua amat mengetahui sejarah kewujudan dan peranan besar yang dimainkan lapangan tebang ini berbanding generasi muda hari ini malah mungkin juga langsung tidak mengetahui tentang kewujudannya.

Perlu disebut Lapangan Terbang di Taiping ini merupakan lapangan terbang pertama di Tanah Melayu. Namun landasannya agak pendek dan tidak sesuai lagi untuk pesawat besar yang ada pada hari ini.

Lapangan terbang ini yang terletak di Tekah juga dikenali dengan nama Tekah Airport. Ia dibina dalam tahun 1929 dan merupakan sebuah lapangan terbang pertama yang secara rasminya dibina di negeri-negeri Melayu Bersekutu dan berkemungkinan juga ia adalah lapangan terbang komersil pertama di Asia Tenggara.

Fungsi asas lapangan terbang Taiping adalah untuk kegunaan pegawai² British dan para pedagang dari Eropah. Selain itu, ia digunakan sebagai landasan udara untuk Angkatan Tentera Udara Diraja Malaya.

Antara laluan utama lapangan terbang Taiping pada waktu itu adalah untuk penerbangan ke lokasi yang berjarak pendek seperti ke Alor Star, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Laluan penerbangan Pulau Pinang ke Singapura juga akan menjadikan lapangan terbang Taiping sebagai lokasi hentian.

Perkhidmatan penerbangan penumpang di Malaya pada zaman kegemilangannya itu telah dilancarkan oleh Wearne Air Services (WAS) dan ia adalah merupakan perkhidmatan penerbangan penumpang yang pertama. Ia juga berguna untuk penerbangan harian ke Taiping yang menghantar surat khabar harian.

Lapangan terbang  Taiping juga pernah menjadi bualan hangat di seluruh dunia apabila seorang pemandu wanita kapal terbang Amerika yang terkenal bernama Amelia Mary Earhart telah berhenti mendarat di sana pada 7 Jun 1937 untuk mengisi bahan api semasa dalam misi mendapat gelaran sebagai wanita pertama yang terbang solo di Lautan Atlantik.

Di lapangan terbang ini juga pernah menjadi saksi yang melakar sejarah apabila Sukarno dan Mohammad Hatta mendarat di sana pada tarikh 12 Ogos 1945 untuk bertemu dengan Dr. Burhanuddin Helmi dan Ibrahim Yaacob untuk berbicara tentang kemungkinan dalam menyatukan Malaya dengan Indonesia (Melayu Raya) jika mencapai kemerdekaan.

Selepas tamat pendudukan Jepun di Tanah Melayu, lapangan terbang Taiping hanya menawarkan penerbangan ke lapangan terbang lain di sekitar negeri Perak dan secara tidak langsung telah menjadikan lapangan terbang di Ipoh sebagai satu-satunya lapangan terbang di negeri Perak yang menyediakan perkhidmatan penumpang ke negeri-negeri yang lain.

Hari ini, lapangan terbang Taiping ini tidak lagi digunakan untuk penerbangan komersil dan ianya telah pun mendapat pengiktirafan oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dan segala jasanya menjadi ingatan dan sejarah.