Menteri Besar Kedah Kekal Mukhriz

Reading Time: < 1 minute

PETALING JAYA | Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengekalkan jawatan sebagai Meteri Besar Kedah selepas mendapat sokongan daripada wakil rakyat dari pelbagai pihak.

Beliau berkata kerajaan Kedah kini terdiri daripada Pakatan Harapan dan PPBM.

“ADUN PH dan Bersatu juga sepakat bersetuju supaya kerajaan negeri Kedah dikekalkan.

Kerajaan negeri Kedah hari ini adalah gandingan PH dan Bersatu. Kesepakatan ini menjamin urusan kerajaan negeri berfungsi seperti biasa,” katanya.

Dengan perkembangan ini, ia serupa seperti apa yang berlaku di Perak di mana Menteri Besarnya Ahmad Faizal Azumu masih mendapat sokongan majoriti dari pelbagai parti iaitu PH dan PPBM.

Mukhriz mengadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah di Wisma Darul Aman, awal pagi ini untuk membincangkan krisis politik semasa di kerajaan persekutuan dan bagaimana ia memberi kesan kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata beliau telah mempersembahkan warkah penzahiran sokongan terhadap dirinya dari 18 ADUN PH dan Bersatu. 

“Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan telah berkenan menerima warkah tersebut dan memperkenankan agar saya terus memegang jawatan Menteri Besar negeri Kedah Darul Aman.

“Kami berharap rakyat bertenang dan bersikap rasional kerana pentadbiran kerajaan di Kedah tidak terjejas oleh perkembangan di peringkat pusat, “katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar di kediamannya di Seri Mentaloon pada tengah hari tadi.

Para pemimpin PKR, Amanah dan DAP hadir di sidang akhbar untuk mengisytiharkan sokongan mereka kepada Mukhriz.

Terdapat 36 kerusi dewan undangan negeri di Kedah, dengan PAS menduduki 15, PPBM enam, PKR tujuh, Amanah empat, dua DAP dan dua Umno.