Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad menerima kritikan daripada netizen atas tindakannya untuk mengadakan pertandingan atas talian menggunakan aplikasi TikTok dari 8 hingga 14 April.
Tweet yang menggunakan akaun @DrNorainiAhmad itu didakwa dikendalikan oleh beliau atau seseorang yang dilantik untuk mengendalikan akaun beliau menulis “Jom join TikTok Contest. Kongsikan video mengikut kreativiti masing-masing dengan saya. Ada hadiah menarik menanti anda!”
Berdasarkan poster yang disertakan, pertandingan itu bermula dari 8 hingga 14 April dengan syarat-syarat dinyatakan berikut:
- Peserta mestilah berusia antara 18 hingga 26 tahun
- Jangan sentuh perkara sensitif, agama, bangsa dan negara
- Kandungan video mesti sesuai untuk tontonan semua lapisan umur dan masyarakat
- Mesti tag 3 kawan dengan hashtags berikut: #staysafe, #kitamestimenang #kesanakesini
Walau bagaimanapun, netizen tidak begitu kagum dengan usaha untuk mengadakan pertandingan ini. Seorang pengguna Twitter berkata, “Saya tidak faham apa kejayaan TikTok ini dengan peranannya sebagai Menteri Pengajian Tinggi.”
Pengguna Twitter lain juga menasihatkan menteri untuk memberi tumpuan kepada program e-pembelajaran dan kebajikan pelajar yang kini berada di kampus.
Semakan Independent pada pukul 12 tengahari tadi mendapati kandungan tersebut telah tidak dapat dilihat dari pemilik akaun tersebut. Bagaimanapun, terdapat netizen yang sempat membuat tangkap layar kandungan tersebut.