PUTRAJAYA – Setelah lebih 2 tahun bergerak bebas ke sana ke mari tanpa halangan, akhirnya bekas Perdana Menteri ke-6, Najib Razak yang disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Julai 2020 dalam skandal SRC akan meringkuk di sebalik tirai besi.
Setelah bertahun perbicaraan ditangguhkan dan rayuan demi rayuan dibuat, dengan pasukan peguam pembelaan bertukar ganti, semua itu gagal membuktikan Najib tidak bersalah dalam skandal tersebut.
Dalam usaha terakhir mereka untuk menyelamatkan Najib, pasukan peguam yang telah mengemukakan permohonan untuk mengenepikan Ketua Hakim Negara dari mengadili permohonan rayuan terakhir Najib di Mahkamah Persekutuan pada hari ini telah ditolak dan hakim sebulat suara berpendapat ia tiada kaitan dengan kes.
Sebelum itu, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata segalanya akan diputuskan hari ini juga dan tiada siapa perlu kembali pada keesokan hari.
Kelima-lima hakim menolak rayuan dikemukakan Najib Razak.
Kata Tengku Maimun, keputusan dicapai sebulat suara.
Beberapa anggota polis dilihat menghampiri Najib di kandang tertuduh bagi melaksanakan hukuman penjara ke atasnya.
Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi iaitu hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.