PUTRAJAYA | Negara memasuki fasa pemulihan wabak covid-19 apabila Perdana Menteri mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) semasa perutusan khas di sini pada petang Ahad (7 Jun).
PKPP akan bermula pada 10 Jun sehingga 31 Ogos 2020. PKPP akan memberikan lebih banyak kelonggaran, antaranya kebenaran perjalanan merentas sempadan negeri kecuali di kawasan yang sedang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Jadi bagi mereka yang ingin menziarahi ibu bapa yang tinggal berjauhan di negeri lain bolehlah berbuat demikian.
“Nasihat saya sentiasa jaga kebersihan diri, pakai pelitup muka apabila berada di tempat awam, dan elakkan tempat yang sesak semasa pulang ke kampung,” ujar beliau.
Perdana Menteri juga mengingatkan bahawa ibu bapa yang merupakan warga emas merupakan orang yang mudah terdedah kepada jangkitan. Di samping bergembira menziarahi mereka, tanggungjawab yang lebih utama adalah untuk melindungi mereka daripada dijangkiti.
PKPP juga memberikan kelonggaran kepada hampir semua aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan, perniagaan, sektor ekonomi akan beroperasi semula secara berperingkat dengan pematuhan penuh kepada SOP. Ini termasuk operasi kedai gunting rambut dan salun, pasar pagi, pasar malam, pasar tani, pusat penjaja makanan dan trak makanan turut dibenarkan beroperasi.
Aktiviti komersial yang melibatkan aktiviti di luar premis perniagaan juga dibenarkan lawatan ke muzium, indoor busking, dobi layan diri, aktiviti kolam pancing komersial dan penggambaran filem.
“Mesyuarat dan bengkel juga dibenarkan dengan syarat memenuhi sepenuhnya protokol kesihatan dan mengoptimumkan ruang, “tambah beliau.
Sukan yang tidak melibatkan sentuhan badan seperti badminton, bowling, memanah, menembak dan lain-lain akan dibuka semula dengan syarat mematuhi SOP.
Aktiviti berkumpulan seperti kayuhan basikal dan konvoi motosikal juga dibenarkan.
Manakala pertandingan sukan yang melibatkan kehadiran penyokong/penonton yang ramai seperti di stadium, kolam renang, dan sukan bersentuhan seperti ragbi, gusti, tinju, bolasepak, bolakeranjang dan hoki masih tidak dibenarkan.
Aktiviti pelancongan domestik turut dibenarkan namun melancong ke luar negara tidak dibenarkan kerana sempadan negara masih ditutup.
“Dalam kategori perayaan dan aktiviti keagamaan, saya nak sampaikan berita baik iaitu sambutan Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban akan dibenarkan tertakluk kepada SOP pihak berkuasa agama Islam.
“Untuk solat berjemaah dan aktiviti keagamaan di masjid dan rumah ibadat pula, kelonggaran untuk membenarkan lebih ramai jemaah hadir dan mengikut ruang keluasan masjid atau rumah ibadat sedang diperhalusi oleh kerajaan dan akan diumumkan sedikit masa lagi,” katanya.
Kementerian Pendidikan akan membuat pengumuman terperinci pembukaan sekolah sedikit masa lagi setelah mendapat nasihat dari Kementerian Kesihatan.