IPOH | Pakatan Harapan Perak dalam satu kenyataan media hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Ahmad Faizal Azumu yang beralih kepada Perikatan Nasional sekaligus telah menumbangkan kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat pelbagai kaum dan agama dalam pilihan raya umum 2018 yang lepas.
Tindakan Ahmad Faizal itu dianggap ‘pengkhianatan besar’ dan membelakangi mandat rakyat dan beliau sepatutnya memohon maaf kepada rakyat negeri Perak dan Tun Mahathir Mohamad, menurut kenyataan itu.
PH Perak tetap dengan pendirian tidak akan mengiktiraf kerajaan ‘pintu belakang’ yang gagal memperoleh mandat dari rakyat sebaliknya membentuk kerajaan dengan cara mencuri kuasa bersama gabungan parti rasis yang telah kalah pada pilihan raya ke-14 yang lalu, kenyataan itu dipetik.
PH Perak juga menuntut persidangan dewan khas segera diadakan bagi menentukan siapa yang mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri.
Justeru, PH Perak akan mengadakan jelajah Harapan ke seluruh negeri bagi memberi penerangan kepada rakyat apa yang berlaku dalam krisis politik yang digelar ‘rampasan kuasa’ demi mempertahankan mandat rakyat.
Dalam perkembangan lain, 3 ADUN dari PH telah mengisytiharkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas. Mereka adalah ADUN Titi Serong, Hasnul Zulkarnain (Amanah), ADUN Tronoh, Paul Yong Choo Kiong (DAP) dan ADUN Buntong, A Sivasubramaniam (DAP). Mereka menyatakan sokongan terhadap Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dari Bersatu.
Dengan perkembangan ini, kini tinggal 24 ADUN yang masih kekal bersama PH Perak iaitu DAP (16), Amanah (5) dan PKR (3).