DAMANSARA, 20 Jan – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Selangor, Amin Shukor membidas budaya politik emosional dan tidak rasional yang diamalkan oleh penyokong Parti Warisan Sabah (Warisan).
Jelas beliau, tindakan penyokong Warisan menyerang Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu adalah satu tindakan yang biadap dan tidak matang bahkan ia tidak menggambarkan sikap rakyat Sabah secara keseluruhannya.
“Walaupun banyak pihak dan ramai yang akan menilai dan memberi pandangan masing-masing namun bagi saya tindakan menyerang ini tidak melambangkan budaya masyarakat Sabah secara keseluruhan kerana melalui pengamatan saya masyarakat Sabah jauh lebih halus dan lembut, rakyatnya baik dalam bersahabat mahupun berurusan.
“Ini terbukti… sepanjang berada di Sabah membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis, saya dapati rakyat Sabah sangat berhemah.
“Kerana itu apa yang terjadi ini kita tidak boleh membuat penilaian secara pukul rata. Janganlah kita membuka ruang penilaian tidak sihat kepada mereka yang ingin mengambil kesempatan. Kita tidak tahu berapa ramai golongan yang memerhati dan menilai dari jauh serta dari sudut pandang berbeza yang ingin mengambil kesempatan terhadap keharmonian sedia ada,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Namun tegas Amin, tindakan ini juga tidak boleh dibiarkan begitu sahaja baik pihak parti Warisan mahupun pihak berkuasa harus mengambil tindakan segera.
“Selain tindakan tersebut melanggar undang-undang negara, ia juga secara tidak langsung memberi gambaran yang amat tidak sihat kepada para pelancong dan ini akan amat merugikan sektor pelancongan Sabah.
“Jadi apa tindakan kepimpinan Warisan dalam hal ini? Adakah mereka akan menghalalkan tindakan ini dengan membiarkan begitu sahaja? Soal beliau.
Amin juga mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan secara telus dan tidak bersikap bias.
“Jika perkara ini tidak disiasat dengan baik, sudah pasti ia akan memberi gambaran negatif kepada pihak polis.
“Kita tidak mahu ada tangan-tangan ghaib yang cuba memberi arahan yang akhirnya membuatkan rakyat semakin hilang keyakinan kepada pihak berkuasa,” tambahnya lagi.
Sumber: UMNO Online