PUTRAJAYA | Pasar Borong Kuala Lumpur ditutup selama empat hari bermula hari ini untuk proses sanitasi di kawasan berkenaan. Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia adalah bagi memastikan peniaga, pemborong mahupun pelanggan tidak dijangkiti koronavirus sewaktu berurus niaga di situ.
“Tujuan penutupan tersebut bukan selama 14 hari sama seperti tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), tetapi kita hanya menutup selama empat hari supaya proses sanitasi boleh dilaksanakan di sana,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini hari ini.
Beliau turut berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan peniaga dan pemborong di pasar borong itu tidak dijangkiti wabak itu.
Ditanya mengenai kegusaran masyarakat berhubung kemungkinan berlaku kekurangan bekalan barang basah di pasaran berikutan penutupan pasar borong itu, Ismail Sabri berkata perkara itu tidak berlaku kerana orang ramai masih boleh mendapatkan bekalan barang basah dari pasar-pasar berhampiran yang masih beroperasi.
Dalam pada itu, beliau menyeru penganjur bazar Ramadan untuk memulangkan bayaran deposit kepada peniaga memandangkan bazar Ramadan tidak dibenarkan beroperasi tahun ini.
Mengambil contoh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang dilaporkan akan mengembalikan deposit yang telah dibayar oleh peniaga bazar Ramadan di ibu negara, beliau menyeru penganjur bazar lain untuk melakukan perkara yang sama.