SIDANG DUN | Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, YB Paul Yong Choo Kiong kembali bertugas hari ini sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu Perak.
Beliau hadir pada hari pertama Sidang Dewan Undangan Negeri DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan Ipoh yang berlangsung pada Jumaat.
Menurut Yong, keputusan tersebut dibuat selepas berbincang dengan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.
“Menteri Besar menyokong saya supaya kembali bertugas seperti biasa. Semua penugasan pentadbiran akan kembali seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada media.
Choo Kiong hari ini membuat penampilan pertama selepas mengumumkan cuti daripada menjalankan tugas rasmi sejak 25 Ogos lalu dengan menjawab soalan lisan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Pada 25 Ogos lalu, beliau membuat keputusan itu bagi memberi tumpuan terhadap perbicaraan atas pertuduhan rogol yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Ipoh.
Paul Yong, 49, berdepan tuduhan merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia berusia 23 tahun di sebuah bilik di tingkat atas rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya antara jam 8.15 malam hingga 9.15 malam 7 Julai lalu.