Peja’ Kesal Tindakan Jaafar Memaki Hamunnya

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu menzahirkan rasa kesalnya berhubung tindakan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tambun, Jaafar Uthman yang memakinya menerusi rakaman video yang tular dalam media sosial baru-baru ini.

Menurut beliau, tindakan itu hanya mempopularkan diri Jaafar sahaja tetapi tidak menyelesaikan masalah yang cuba dibawa kepada kerajaan negeri.

Katanya, beliau juga boleh melakukan tindakan yang sama sebagai tindak balas terhadap apa yang dilakukan oleh timbalannya itu tetapi ia tidak menyelesaikan masalah.

“Saya juga boleh buat rakaman video tiap-tiap hari, saya boleh minta kawan saya rakam video saya untuk maki orang,  cerita yang bukan-bukan. Saya pun boleh popular tapi itu tidak menyelesaikan masalah.

 “Semua orang akan gembira jika saya pula buat video maki hamun saudara Jaafar tapi tak dapat apa-apa, macam tengok ‘show’ sajalah, macam tengok drama TV,” katanya.

Ahmad Faizal berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Tourism Perak dan Perak Transit bagi perkhidmatan bas Hop On Hop Off (HOHO) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Rabu.

Beliau mengulas rakaman video Jaafar yang memakinya baru-baru ini kerana tidak dapat berjumpa dengannya untuk mengadukan masalah rakyat.

Masalah itu melibatkan 200 ejen jualan tiket di terminal bas ekspres di Meru Raya yang bakal kehilangan mata pencarian susulan Pelaksanaan Sistem Jualan Tiket Berpusat (CTS) di terminal bas berkenaan.