IPOH: Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu meminta pihak pembangkang menghentikan mainan politik kononnya wujud komplot maju menjatuhkannya sebagai Menteri Besar.
Sebaliknya beliau menasihati pembangkang memberi fokus kepada ucapan penggulungan dan menegur pihak kerajaan jika ada sebarang kekurangan daripada belanjawan kali ini.
“Jadilah pembangkang yang baik kerana kami berhasrat ingin menjadi kerajaan yang baik,” katanya.
Menurut Ahmad Faizal, dakwaan kononnya ada gerakan untuk mengusulkan undi tidak percaya ke atas beliau masih belum berlaku setakat ini.
Menteri Besar berkata, perkara itu akan diserahkan kepada pihak berkuasa jika ada dakwaan sedemikian.
Namun Ahmad Faizal percaya hubungan kesemua 10 Exco dalam kerajaan PH Perak dengan beliau adalah seperti satu keluarga bahagia.
“Sekarang saya serta kesemua Exco sibuk dengan perbahasan serta mengenai belanjawan berbincang bagaimana cara untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat negeri ini.
“Kami juga masih berkomunikasi dengan baik setiap hari dalam aplikasi Whatsapp dan masih bersidang seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa menghadiri majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dengan Jimmy Couture Trend Sdn. Bhd. di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Khamis.
Ahamd Faizal mengulas tindakan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan (PH) Negeri, V Sivakumar yang telah membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Saarani Mohamad berhubung dakwaan yang mengatakan terdapat usaha mahu menjatuhkan beliau.
“Jika pihak Datuk Saarani ada ditawarkan sesuatu dalam bentuk rasuah, mereka perlu membuat laporan berhubung kes berkenaan dan kemukakan bukti kepada pihak polis.
Terdahulu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad meminta Dato’ Seri Ahmad Faizal tidak berpura-pura apabila menafikan wujudnya komplot untuk menjatuhkannya sebagai Menteri Besar.
Menurutnya, kenyataan Ahmad Faizal hari ini bahawa dakwaan tersebut hanya merupakan desas-desus dan tidak benar akan berlaku sebagai dolak dalih untuk menafikan apa yang sebenarnya berlaku.
“Itu dolak-dalih, jangan hipokrit, jangan ada sindrom penafian. Dia (Ahmad Faizal) lebih tahu, kami lebih tahu. Kalau nak kenal siapa Exco yang berkenaan, kita tengok dia tunduk saja, jadi mudah saja nak kesan.
“Saya sedia untuk mendedahkan nama Exco yang mahu menjatuhkan Menteri Besar jika kesemua 10 Exco setuju nama mereka yang terlibat didedahkan,” katanya kepada pemberita di bilik media, Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.
Walaupun Ahmad Faizal menafikan terdapat Exco kerajaan negeri yang merancang untuk menjatuhkan beliau, Saarani bertegas bahawa komplot itu benar-benar wujud.
Katanya, ini berdasarkan Exco berkenaan sendiri dan wakilnya yang mengadakan perjumpaan dengan wakil rakyat UMNO sebanyak empat kali bagi mendapat sokongan untuk menyokong undi tidak percaya terhadap Ahmad Faizal.
Mengulas mengenai laporan polis yang dibuat V. Sivakumar, Saarani berkata, pimpinan PH tidak sewajarnya memutarbelitkan isu itu dengan menampakkan ia sengaja dimainkan pembangkang untuk kucar-kacirkan pentadbiran kerajaan sedangkan yang berantakan adalah kalangan pimpinan PH sendiri.
Katanya, tiada sebab pembangkang berbuat demikian, mereka hanya bersikap ‘gentlemen‘ untuk memastikan pembangkang menang pada PRU15 nanti.
“Jangan pula kerana mereka yang buat hal (cuba menjatuhkan MB), kami pula yang diburukkan, itu tak betul.
“Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah sudah pun membuat laporan polis … cuma menariknya laporan polis (dibuat) di KL (Kuala Lumpur), jadi kita bersedia menunggu bila polis akan jemput untuk hadir beri keterangan.
“Cuma saya kena ingatkan Sivakumar, bila buat laporan polis dia kena sedia tanggung risiko atas perbuatannya,” katanya.
Menurut Saarani lagi, kesemua 25 Adun BN Perak tidak takut malah bersedia memberi kerjasama sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan wujudnya gerakan menjatuhkan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu.
Katanya, kesediaan itu berlandaskan fakta dan bukti kukuh yang dipunyai mereka berdasarkan peristiwa yang berlaku.
Menurutnya, meskipun isu telah dibangkitkan, sehingga kini individu iaitu Exco yang dikatakan itu masih berusaha memujuk ADUN BN meneruskan usaha menjatuhkan Menteri Besar.
“Ini bukan isu main-main, kalau buat laporan polis, janganlah pula terkejut apabila laporan polis itu nanti terkena kepada seorang daripada orang mereka (PH).
“Sudah tentu polis akan ambil tindakan terhadap orang yang berkenaan dan akan dipanggil polis dan kena mengaku apa yang dibuat, jadi janganlah beranggapan dengan laporan polis itu kami akan berhenti bercakap.
“Kami bersedia untuk bercakap, kami sekarang pembangkang, apa yang perlu ditakutkan,” kata Datuk Saarani yang juga ADUN Kota Tampan.