SIDANG DUN | Pembangkang DUN Perak perjelaskan mereka tidak menolak usul pengisytiharan harta oleh semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi mahu perkara itu dibuat terus melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan bukan melalui Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Ngeh Koo Ham.
Menurut Ketua Pembangkang DUN Perak, Datuk Saarani Mohamad, pindaan kepada usul berkenaan adalah penting selaras dengan konsep pengasingan kuasa melibatkan badan perundangan dan badan eksekutif bagi mengelak sebarang pertindihan serta penyalahgunaan kuasa.
“Yang Dipertua Dewan (Speaker) tiada kuasa untuk menyemak borang yang dikemukakan.
“Saya hendak tanya, kalau borang ini dihantar kepada Speaker, Speaker hendak buat apa dengan borang ini? Simpan, tengok, baca, fotostat? Tidak boleh.
“Kita seolah-olah menodai atau memperkosa konsep pengasingan kuasa. Lebih teruk, menurut usul ini, satu salinan borang tersebut hendaklah diberikan kepada SPRM, ini apa cerita? Kita telah mengambil kuasa SPRM kerana SPRM hanya dapat salinan sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul pengisytiharan harta tersebut yang diusulkan oleh Terence Naidu (DAP-Pasir Bedamar) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa.
Mengikut usul tersebut, sesuai dengan prinsip akauntabiliti dan ketelusan, semua ADUN hendaklah mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak dan pemegang dalam akaun berkanun.
Namun begitu, sebelum memulakan perbahasan, Ngeh Koo Ham menggunakan kuasanya sebagai Speaker melalui Perintah Tetap 30(4) untuk membuat pindaan terhadap usul tersebut dengan menambah perkataan ‘dalam bentuk dan borang sepertimana yang ditetapkan oleh Yang Dipertua Dewan Negeri’.
Saarani perjelaskan perkataan ‘borang yang ditetapkan Yang Dipertua Dewan Negeri’ memanifestasi Speaker telah pun mempunyai dokumen berkenaan dan ia berlainan dengan SPRM.
Justeru itu, beliau menganggap tindakan Speaker Dewan merupakan satu perbuatan salah.