Pemimpin Sudah Hilang ‘Political Will’ – Ibrahim Ali

Reading Time: < 1 minute

IPOH: Negara sedang berdepan masalah mutakhir ini kerana pemimpin-pemimpinnya sudah sudah hilang kemahuan politik (political will).

Justeru itu kata Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Paduka Dr Ibrahim Ali, bila hilang kemahuan politik maka pemimpin-pemimpin tidak fokus kepada agenda negara dan rakyat.

“Agenda negara dan rakyat perlu diutamakan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian penutup Kongres Melayu – Kembalikan Hak Yang Hilang’ di Hotel Tower Regency di sini pada Sabtu. Turut hadir ialah Timbalan Presiden PUTRA, Datuk Mohd Khalid Yunus. Majlis pembukaan Kongres dirasmikan oleh Naib Presiden PUTRA, Dato’ Hamidah Osman.

Sehubungan itu beliau menyeru semua kaum bukan sahaja orang Melayu supaya kembali bersatu bagi menjaga keamanan negara.

“Orang Melayu sebagai kaum majoriti apabila kembali bersatu dapat menyumbang dalam menjaga keselamatan lain-lain kaum dan keamanan negara.

“Kalau kaum majoriti ini terumbang-ambing ia boleh memberi kesan kepada lain-lain kaum dalam negara.

“Justeru itu usaha dan peranan yang dimainkan Putra ini ialah hendak memperbetulkan keadaan supaya negara kita selamat untuk semua kaum,” tegasnya.

Dalam sidang media yang sama katanya, PUTRA meminta ditamatkan darurat untuk membolehkan Parlimen kembali bersidang.

“Saya memohon budi bicara Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong supaya menamatkan darurat … tarik balik darurat dan kembali kepada demokrasi di mana parlimen boleh bersidang secepat mungkin,” kata Ibrahim.