IPOH: Berita baik untuk peniaga menjana pendapatan apabila mereka diberi peluang berniaga bersebelahan Stadium Indera Mulia sempena Sukma 2018.
Menurut satu kenyataan Majlis Bandaraya Ipoh pada Ahad, peniaga yang berminat menjalankan perniagaan disediakan tapak bersebelahan Stadium Indera Mulia semasa penganjuran sukan itu yang berlangsung dari 11 hingga 22 September ini.
Para peniaga yang berminat boleh berhubung terus dengan pihak penganjur iaitu Persatuan Usahaniaga IKS (Negeri Perak).
Venue di Kompleks Sukan MBI seperti Pusat Akuatik, Stadium Perak,Stadium Indera Mulia, Arena Badminton & Squash serta Stadium Tenis akan digunakan untuk beberapa jenis sukan seperti renang, polo air, badminton dan squash, gimnastik dan gimrama serta tenis.
Bagi melancarkan lalu lintas serta tidak berlaku masalah berkaitan kesihatan yang serius khususnya kepada para atlit, Jawatankuasa SUKMA Peringkat Daerah Kinta telah menetapkan lokasi sebelah Stadium Indera Mulia sebagai lokasi bagi peniaga yang berminat untuk berniaga.
Sehubungan itu MBI meminta kerjasama para peniaga agar mematuhi ketetapan yang telah ditetapkan oleh Jawatankuasa SUKMA berkaitan lokasi perniagaan di Kompleks Sukan MBI.
MBI amat menghargai kerjasama para peniaga dalam memastikan penganjuran SUKMA Perak 2018 kali ini adalah penganjuran terbaik dalam sejarah SUKMA.
Selain itu MBI turut menyediakan 70 unit gerai di Medan Selera MBI yang baru dinaiktaraf untuk kemudahan pengunjung.