Penjawat Awam Digalak Lapor Salah Laku

  •  
  •  
  •  
Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA, 12 Dis (BERNAMA) | Penjawat awam digalakkan untuk melaporkan sebarang salah laku di kementerian atau jabatan atau agensi masing-masing, dalam usaha membendung ketirisan yang berlaku dalam sesuatu organisasi, terutama yang melibatkan penyalahgunaan kuasa di pelbagai peringkat tanpa mengira kedudukan mereka.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman berkata, kerajaan memandang serius mengenai sebarang salah laku yang melibatkan penjawat awam. 

“Pemberi maklumat mempunyai pelbagai saluran untuk menyampaikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), atau Unit Integriti di setiap kementerian atau jabatan atau agensi masing-masing.

“Maklumat pelapor dirahsiakan dan diberi jaminan bahawa semua butiran yang diberikan kepada pihak berkuasa akan dilindungi dan hak keselamatan mereka terjaga, mengikut peraturan sedia ada seperti yang dinyatakan dalam Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan Akta Perlindungan Saksi 2009,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Mohd Khairul Adib berkata semua penjawat awam adalah tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (1993)(P.U.A 395/1993), dan sebarang pelanggaran kepada mana-mana peraturan termasuk tidak melaporkan salah laku pegawai, boleh dikenakan tindakan tatatertib.   

“Pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menegaskan agar semua ketua jabatan memandang serius mengenai hal ini dan sentiasa memastikan sebarang ketirisan dan penyalahgunaan kuasa tidak berlaku di semua peringkat dalam kementerian atau jabatan atau agensi,” katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada penjawat awam yang berani tampil ke hadapan bagi membendung salah laku tersebut.

“Ini menunjukkan mereka mempunyai integriti yang sangat tinggi dan boleh menjadi contoh kepada penjawat awam yang lain.

“JPA juga ingin mengucapkan tahniah kepada pihak SPRM dan agensi penguat kuasa atas tindakan proaktif dan berterusan, bagi memastikan amalan rasuah dibanteras secara menyeluruh seterusnya dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus yang baik dalam Perkhidmatan Awam,” katanya.