Foto oleh China Press
IPOH | Kira-kira 80 penyokong DAP menzahirkan kemarahan mereka dengan mengoyakkan, memijak dan membakar poster bekas anggota DAP yang keluar parti, Yong Choo Kiong di hadapan Pusat Khidmat ADUN itu di Tronoh, lapor China Press.
Sambil menunjukkan isyarat ibu jari tangan ke bawah ke arah poster tersebut, mereka menyebut ‘pengkhianat’. Sebahagiannya mengeluarkan wang dari saku mereka dan menunjukkan ke arah poster tersebut dan mendakwa Yong meninggalkan parti itu demi wang dan membelakangi mandat rakyat dalam pilihan raya umum yang lalu.
Mereka mendesak Yong meletakkan jawatan sebagai ADUN bagi membolehkan pengundi memilih wakil rakyat yang baru bagi kawasan itu.
Yong sebelum ini merupakan pengerusi majlis mesyuarat Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal-Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru Perak. Belia memenangi DUN Tronoh atas tiket DAP. Pada 10 Mac lalu, beliau mengisytiharkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas selepas Pakatan Harapan di Perak roboh ekoran Parti Pribumi Bersatu Malaysia menarik diri dari gabungan itu.
Yong masih dalam perbicaraan mahkamah berkenaan dakwaan merogol pembantu rumahnya.