Perak A muncul juara edisi pertama Piala MB Perak

Reading Time: < 1 minuteIPOH, 1 Sept — Pasukan senior Perak muncul juara Kejohanan Boling Padang Piala Menteri Besar Perak 2019 selepas mengalahkan pasukan Sukan Malaysia (Sukma) Perak pada final kategori utama di Arean Lawan Bowls di sini hari ini.

Pengalaman dimiliki pasukan senior Perak A terdiri daripada Sazeli Sani, Ramble Dallan Rice Oxley dan Aminun Haq Fahrir Adli ternyata memberi kelebihan untuk muncul juara kategori ‘cup’ edisi pertama kejohanan. 

Pasukan itu menewaskan Perak Sukma A yang seorang daripadanya adalah anak Sazeli iaitu Ahmad Zikry selain turut membariskan Mohamad Aqil Syahmi Mohamed Azian dan Nor Izzati Mohd Ibrahim, sekali gus membawa pulang wang tunai RM10,000. 

Sazeli berkata walaupun berdepan dengan anak sendiri ia bukan satu perlawanan yang mudah, namun pengalaman memberikan sedikit kelebihan kepadanya.

“Sebenarnya peluang kedua-dua pasukan 50-50, mereka (Perak Sukma A) masih muda dan berpeluang berlatih hari-har manakala kami bergantung kepada pengalaman dan mampu mengawal tekanan yang ada,” katanya kepada Bernama selepas perlawanan.

“Walaupun pada satu masa kami ketinggalan 6-11 namun kami mampu bangkit dan memintas di pusingan terakhir. Ini kejayaan yang bermakna bagi kami,” tambahnya.

Dengan kekalahan itu, Pasukan Sukma Perak A terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan membawa pulang wang tunai RM7, 000, manakala tempat ketiga milik PDRM A seterusnya merangkul wang tunai RM5, 000.

Bagi kategori ‘spoon’, pasukan India B meraih tempat pertama selepas menewaskan kelab tempatan, Coway Wes 16-5, manakala pasukan PDRM B muncul juara kategori ‘plate’ selepas menang tipis 13-12 ke atas Perak Sukma B.

Pemenang kategori ‘spoon’ dan ‘plate’ masing-masing memenangi RM500, sementara tempat kedua RM300. 

Kejohanan yang membuka tirai pada 28 Ogos lepas menyaksikan penyertaan 48 pasukan dari kelab dan negeri serta lapan dari negara luar termasuk Thailand, India serta Korea Selatan.

— BERNAMA