Perak Perkenal Skim Bantu Petani Terjejas PKP

Reading Time: < 1 minute

IPOH | Kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) hari ini melancarkan suatu skim bagi membantu para petani yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Skim yang dinamakan Skim Agro Prihatin Perak (AgroPrihatin) itu memperuntukkan sejumlah RM1 juta bagi membeli hasil pertanian terutama sayur-sayuran dan buah-buahan yang tak terjual dari petani-petani yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan PPPNP.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata skim ini adalah berasaskan kerjasama strategik di antara kerajaan negeri dengan KLK Berhad, Agro Business, Pertubuhan Peladang Kawasan Selama dan Central Kitchen.

“Menerusi kerjasama ini, hasil pertanian yang dibeli oleh PPPNP akan dijual terus kepada rakan strategik iaitu KLK Berhad dan syarikat-syarikat perladangan sawit di negeri Perak untuk diagihkan kepada kakitangan mereka yang dianggarkan berjumlah dalam 10,000 orang. Syarikat korporat seperti Agro Business berminat untuk memasarkan hasil pertanian ke pasar raya,” ujarnya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah PPPNP berkata, bagi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), hasil pertanian disalurkan kepada operator Central Kitchen seluruh Negeri Perak untuk penyediaan makanan bermasak kepada para petugas barisan hadapan (frontliners) yang bertugas dalam operasi mengekang penularan wabak Covid-19.

Dengan adanya skim ini, kerajaan negeri menyeru kepada para petani yang terjejas untuk berdaftar dengan Jabatan Pertanian Negeri Perak, FAMA Negeri Perak dan PPPNP untuk urusan penyaluran bantuan.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman sesawang dan laman Facebook agensi terbabit.