KUALA LUMPUR | Persatuan Hotel Malaysia (MAH) berkata ia tidak mengetahui bahawa kerajaan tidak akan membayar caj penuh untuk bilik yang digunakan untuk mengkuarantin rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara.
Free Malaysia Today (FMT) memetik ketua eksekutif MAH, Yap Lip Seng sebagai berkata pengusaha hotel berada di bawah tanggapan bahawa bilik yang digunakan akan dibayar sepenuhnya oleh kerajaan, dan bukan sekadar subsidi pada RM150 setiap bilik.
Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan bahawa kerajaan hanya akan menampung sehingga RM150 setiap bilik untuk hotel tiga bintang dan ke bawah, dan mereka yang mencari penginapan mewah hendaklah membayar dengan wang sendiri.
“Itu bukan apa yang kami diberitahu.
“Tidak ada sebarang aduan kerana semua dikuarantin tinggal di sana secara percuma, dengan makanan disediakan,” katanya dilaporkan.
Yap berkata hotel yang membolehkan premis mereka digunakan sebagai stesen kuarantin telah bersetuju untuk mengenakan “kadar yang sangat rendah”, yang katanya dibayar oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan.
Dia dilaporkan mengatakan bahawa kebanyakan hotel juga telah bersetuju dengan bayaran standard yang akan dibayar untuk asrama, demi negara dan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Yap enggan mendedahkan butiran mengenai jumlah itu, kata laporan itu.
FMT melaporkan Menteri Kesihatan Sabah Frankie Poon sebagai menyatakan kekeliruan terhadap siapa yang akan membayar untuk bilik-bilik di tiga hotel di negeri ini.
Poon dilaporkan berkata bahawa pejabatnya sedang mendapatkan respon dari Badan Pengurusan Bencana Nasional (Nadma) mengenai perkara itu.
FMT melaporkan Timbalan Menteri Kesihatan I Dr Noor Azmi Ghazali mengatakan bahawa pemilihan hotel telah dibuat oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan bersama Nadma.