Pesakit Ketiga Meninggal Dunia Bekas Peserta Himpunan Tabligh

Reading Time: < 1 minute

KUALA LUMPUR | Kematian ketiga akibat wabak koronavirus direkodkan apabila seorang lelaki rakyat Malaysia yang pernah menyertai himpunan tabligh di Masjid Sri Petaling  meninggal dunia di Hospital Tawau, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kematian pada jam 6.27 petang tadi melibatkan kes ke-152. 

Pesakit dimasukkan ke Hospital Tawau pada 9 Mac lalu kerana mengalami simptom Infeksi Saluran Pernafasan Akut Teruk.

“Beliau telah diberi bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pada hari yang sama. Kesihatan beliau merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia petang tadi,” menurut catatan Ketua Pengarah Kesihatan itu. 

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 130 kes baharu positif koronavirus dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes kini mencecah 1,030 setakat 12 tengah hari. 

48 daripada 130 kes baharu itu, adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling, Kuala Lumpur, dari 28 Feb hingga 1 Mac lalu.

Sebanyak 26 kes positif koronavirus sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan dbenarkan pulang adalah 87 kes.