PH Sebulat Suara Serah Kepada PM Tetapkan Tarikh Peralihan

Reading Time: < 1 minute

PUTRAJAYA | Setelah bermesyuarat yang berakhir sehingga lewat malam, Majlis Presiden menyerahkan kepada Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad untuk memutuskan tarikh peralihan kuasa, yang dikatakan selepas Sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November tahun ini.

“Kita telah bincang panjang lebar berkenaan dengan masa depan parti.

“Akhirnya saya tak payah ulang apa yang kita capai. Semuanya diserah kepada saya. Apa yang saya cakap mereka akan turut. Peralihan akan berlaku selepas APEC,” kata Tun Mahathir seperti dipetik dari laporan portal Malaysiakini.

Laporan itu juga menyatakan tiada tempoh masa diberikan kepada beliau sama ada mahu melepaskan atau tidak jawatan nombor satu itu.

Pada sidang media itu juga, Dr Mahathir diapit oleh bakal penggantinya Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, lapor portal itu.

Turut hadir ialah pimpinan tertinggi parti-parti dalam gabungan PH, Presiden Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali tidak kelihatan pada sidang akhbar itu.

Keputusan yang dicapai pada malam ini sekaligus menidakkan desas-desas yang mengatakan terdapat usaha mengumpulkan tanda tangan ahli parlimen bagi meyatakan sokongan sama ada hendak kekalkan Tun sebagai PM hingga akhir penggal atau memberi tekanan supaya Anwar diangkat menjadi PM ke-8 sebelum akhir penggal.