Piala Dunia Russia 2018: Brazil Tundukkan Costa Rica Di Minit-minit Akhir

Reading Time: 2 minutes

Kegembiraan juara dunia 5 kali, Brazil meletus di Stadium St. Petersburg setelah berhempas pulas selama 90 minit tanpa sebarang gol.

Costa Rica yang seolah-olah mahu berpuas hati dengan keputusan seri cuba melengah-lengahkan permainan menyaksikan beberapa siri pemainnya rebah dan menerima rawatan di tengah padang pada minit-minit terakhir. Neymar yang ditolak oleh pertahanan Costa Rica dalam petak penalti dinafikan sepakan penalti setelah pengadil menggunakan Video Assistant Referee (VAR).

Lebih malang, Neymar dilayangkan kad kuning kerana menunjukkan aksi protes terhadap tindakan pemain Costa Rica yang dilihat seolah-olah berpura-pura mengalami kecederaan di saat-saat genting Brazil sedang berusaha mencari gol.

Penjaga gol Costa Rica Keylor Navas menjadi penyelamat terhadap serangan bertubi-tubi Brazil di separuh masa kedua. Tetapi impian Costa Rica menghalang kemaraan Brazil terhenti apabila mereka dikejutkan dengan jaringan pertama Brazil yang terhasil dalam masa tambahan iaitu pada minit ke 91 jaringan Philippe Coutinho.

Brazil kemudiannya terus mengasak kubu Costa Rica dan pada minit ke 96 Neymar akhirnya mencatat nama dalam senarai penjaring gol Brazil setelah menerima hantaran lintang dari Douglas Costa di sebelah kanan di dalam petak penalti Costa Rica.

Brazil seri 1-1 dengan Switzerland dalam perlawanan pertama manakala Costa Rica tewas kepada Serbia 0-1.

Dengan ini, Brazil mencatat 4 mata di kedudukan teratas kumpulan E dan Costa Rica menjadi pasukan terbaru terkeluar dari senarai 16 pasukan di pusingan kedua.

Sementara itu dalam perlawanan lain, Nigeria menewaskan Iceland 2-0. Kedua-dua gol dijaringkan oleh Ahmed Musa. Pasukan Iceland seperti kehilangan sentuhan pada babak kedua. Sepakan penalti juga gagal disempurnakan oleh pemain tengah Iceland, Gylfi Sigurdsson.

Tahap tenaga mereka lebih rendah daripada pemain Nigeria dan mereka kehilangan punca. Pemain Nigeria dilihat berada pada tahap terbaik.

Selepas dua gol Ahmed Musa, pasukan Super Eagles mendapat keyakinan dalam usaha menyerang mereka. Ini sudah pasti akan memberikan mereka satu dorongan besar menjelang pertembungan akhir Kumpulan D menentang Argentina pada hari Selasa.