Tujuh Profesional Bukan Badan Politik Anggotai Majlis Penasihat Pelaburan

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Berbeza dengan pendekatan yang diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu dalam menjadikan Perak negeri mesra pelabur, kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) pula melantik tujuh profesional dari bukan badan politik sebagai anggota Majlis Penasihat Pelaburan, Industri dan Koridor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin, salah seorang darinya ialah mantan Ketua Eksekutif Invest Perak, Datuk Ir. Muhammad Hafni Ibrahim.

Empat lagi adalah pakar ekonomi antarabangsa, Dr Lim Teck Ghee; Pengarah Urusan Royal Selangor International Sdn. Bhd., Tan Sri Yong Poh Kon; pakar pelaburan industri pelancongan, Darren Ng Sau Foong dan pemain industri, Clarence Cheah.

“Dua lagi yang menganggotai majlis tersebut ialah Exco kerajaan negeri, Howard Lee Chuan How dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kamunting, Dr Muhd Fadhil Nuruddin.

“Howard dipilih kerana pengalaman luasnya di luar negara dan bagi Muhd Fadhil pula kerana pengalamanya selama 26 tahun dalam bidang kejuruteraan serta pelaburan,” katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.

Nizar ketika mengumumkan pembentukan Majlis Penasihat Pelaburan, Industri dan Koridor itu berkata, badan yang diletakkan di bawah portfolionya itu akan bertindak sebagai penasihat dalam bidang-bidang pelaburan negeri.

Menurut beliau, majlis yang dianggotai tujuh orang pakar industri itu juga akan berbincang dan memberi cadangan kepada kerajaan negeri terhadap bentuk-bentuk pelaburan yang sesuai serta pembinaan tapak-tapak industri bertaraf antarabangsa.

Katanya, selain menasihati kerajaan negeri, Majlis Penasihat Pelaburan, Industri dan Koridor juga akan menjadi penasihat kepada Perak Investment Management Centre (InvestPerak) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) Negeri selaku badan pelaksana.

Nizar berkata, mesyuarat pertama majlis tersebut akan diadakan di pejabatnya pada 26 Jun ini.

Terima Sumbangan Tabung Harapan

Dalam sidang media itu, Nizar juga mengumumkan penerimaan sumbangan Tabung Harapan Malaysia berjumlah RM50,000 daripada lima buah syarikat tempatan.

Tanpa menyebut secara khusus nama syarikat terbabit, katanya, sebahagian besar darinya datang daripada industri perlombongan.

Menurut beliau, kesemua cek sumbangan tersebut diserahkan kepada Setiausaha Eksekutif Sekretariat Pakatan Harapan Perak, Sasha Veriah.