Piala Dunia Russia 2018: Croatia Benam Argentina

Reading Time: < 1 minute

Setelah gagal memperoleh tiga mata penuh dalam perlawanan pertama menentang Iceland, kedudukan Argentina semakin genting apabila tewas pula kepada Croatia 3-0 malam tadi.

Croatia mendapat gol pertama pada minit ke-53 akibat kesilapan penjaga gol Argentina yang menghantar bola lemah kepada pemain pertahanan yang berjaya dipintas oleh Rebic seterusnya merembat bola masuk ke gawang gol.

Croatia menambah jaringan pada minit ke-80 melalui rembatan kencang Modric ke sebelah kanan pintu gol yang gagal dicapai oleh penjaga gol Willy Caballero.

Dalam masa tambahan, di minit ke-91 Croatia menambah derita Argentina apabila Rakitic menerima bola dari Kovacic dalam petak penalti setelah sepakan pertama Rakitic ditampan oleh penjaga gol yang kemudian jatuh ke kaki Kovacic.

Croatia mengesahkan tempat dari Kumpulan D untuk ke pusingan kedua manakala Argentina mesti menang dalam perlawanan terakhir menentang Nigeria dan nasibnya masih belum menentu kerana ia bergantung kepada keputusan perlawanan lain di antara Iceland dan Nigeria.

Dalam perlawanan lain malam tadi, Perancis juga menempah tempat ke pusingan kedua setelah menewaskan Peru 1-0. Denmark terikat 1-1 dengan Australia. Peru yang tewas buat kali kedua terpaksa berputih mata  mengikuti Mesir, Arab Saudi dan Maghribi terkeluar dari pusingan kedua.