PM, Kabinet, Peguam Negara Perlu Letak Jawatan Segera – Nizar

Reading Time: < 1 minute

Perdana Menteri dan seluruh menteri kabinet wajar meletakkan jawatan dengan segera kerana jelas telah melanggar Perlembagaan Malaysia dan menderhaka kepada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong serta Raja-raja Melayu susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh pihak Istana berkaitan ordinan darurat hari ini.

Dalam Perkara 150 (2B) dan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kuasa penggubalan dan pembatalan ordinan-ordinan darurat terletak di bawah Seri Paduka Bagina, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin hari ini.

Tambahnya dalam kenyataan itu, peguam negara juga perlu meletakkan jawatan kerana dengan terang mengingkari titah Seri Paduka Baginda agar ordinan darurat dibentang dan dibahaskan di parlimen.

“Secara jelas dan terang, Perdana Menteri serta seluruh Menteri Kabinet termasuk Peguam Negara dan Speaker Dewan Rakyat telah dengan sengaja mempamerkan ketidaksetiaan kepada Raja dan Negara, melanggar keluhuran Perlembagaan dan membelakangkan kedaulatan undang-undang serta secara terang telah memalukan nama baik Malaysia di peringkat global, ” menurut Dato Seri Nizar.

Beliau turut berkata ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan membuat kenyataan pada 26 Julai 2021 bahawa keputusan pembatalan kesemua enam ordinan darurat telah dibuat oleh kerajaan berkuatkuasa secara undur tarikh iaitu pada 21 Julai 2021 jelas satu penipuan terhadap seluruh rakyat Malaysia dan beliau perlu bertanggungjawab.

“Jelas dan terang seluruh kepimpinan yang terlibat dengan kerajaan tebuk atap ini secara langsung atau tidak langsung telah menderhaka kepada Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong dan Majlis Rahja-Raja Melayu,” kata Nizar.

Awal hari ini, pihak Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan penzahiran rasa amat dukacita Seri Paduka Baginda terhadap kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai, 2021 lalu bahawa
Kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda.