‘Pocong’ Gagal Takutkan Penduduk Supaya Kekal Berada Di Rumah

Reading Time: < 1 minute

JAKARTA | Di tengah wabak virus korona (Covid-19), penduduk disarankan untuk tinggal di rumah. Selain itu, pihak berkuasa di Indonesia juga telah melakukan perintah berkurung di beberapa daerah.

Pelbagai kaedah digunakan untuk memastikan orang ramai mematuhi perintah. Salah satunya, adalah untuk menjadikan manusia memakai kostum berupa makhluk halus untuk menakutkan orang seperti yang baru-baru ini tular di media sosial.

Foto yang dimuat naik di akaun @vctrkmng di Twitter pada Isnin 30 Mac 2020 telah menjadi tular. Dalam foto itu, dua orang memakai kostum ‘pocong’ dilihat berjaga pada waktu malam.

Ini dilakukan agar penduduk merasa takut dan memilih untuk tinggal di rumah. Namun tindakan meletakkan ‘pocong’ di lokasi-lokasi tertentu telah menimbulkan keraguan di kalangan penduduk. Ia tidak memberi kesan seperti yang diharapkan. Malah orang ramai keluar untuk mencari sendiri ‘pocong’ yang didakwa ditemui penduduk.

Ini akhirnya membuatkan pihak yang melakukan usaha ini mengubah taktik dengan meletakkan ‘pocong’ itu di beberapa lokasi secara rawak untuk menimbulkan kejutan dan menjadikan ia penemuan yang tidak boleh dijangka.