Polis Tubuh Pasukan Khas Siasat Kumpulan Kacau Majlis Syed Saddiq

Reading Time: 2 minutes
POLIS menubuhkan sebuah pasukan siasatan khas untuk menyiasat dan mengenalpasti suspek yang terlibat dalam insiden sekumpulan pemuda melakukan provokasi dan kekecohan semasa perjumpaan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Ulu Tiram, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din menerusi kenyataan berkata kes itu akan disiasat secara telus, tegas, berintegriti dan tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Pada 31 Jan 2020 antara 9 malam dan 11.30 malam, bertempat di tapak perkhemahan hutan Savannah Hill Resort, Ulu Tiram, satu program Rapat Umum Armada Johor dengan kehadiran YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Menteri Belia dan Sukan telah diadakan.

“Pihak polis Johor telah menerima laporan polis yang menyatakan bahawa semasa program itu berlangsung, sekumpulan pemuda berpakaian t-shirt berwarna hitam dalam anggaran sejumlah 100 hingga 150 orang telah memasuki kawasan di mana program itu diadakan.

“Kumpulan itu melakukan provokasi dan kekecohan di tempat kejadian, akan tetapi pihak polis telah berjaya mengawal keadaan secara profesional tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya menerusi kenyataan itu hari ini.

Menurut Mohd Kamarudin, hasil siasatan awal polis mendapati kumpulan pemuda yang hadir itu dengan sengaja menimbulkan kekecohan dengan melaungkan kata-kata yang boleh membangkitkan kemarahan, berunsurkan ugutan dan berkelakuan agresif di tempat kejadian.

Satu kertas siasatan sudah dibuka mengikut Seksyen 153/355/357/506 Kanun Keseksaan untuk menyiasat insiden itu dan pihak polis Johor akan mengambil tindakan sewajarnya berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada tanpa sebarang kompromi terhadap mereka yang terlibat dalam kejadian itu.

“Pihak polis juga menegaskan orang ramai untuk tidak mempolitikkan isu ini dan menyebarkan sebarang maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform media sosial yang boleh mencetuskkan sebarang masalah,” katanya.

Terdahulu, Syed Saddiq yang juga Menteri Belia dan Sukan menerusi laman Facebook berkata satu laporan polis telah dibuat berhubung tindakan sekumpulan lelaki yang dengan sengaja mencetuskan kekacauan di program Rapat Umum Armada Johor itu.

Beliau berkata ketika program dijalankan, ada satu kumpulan individu yang tidak dikenali yang datang dan mencetuskan huru-hara.

Beliau berkata kumpulan itu disyaki daripada pihak pembangkang yang sengaja datang untuk menganggu program, namun tindakan mereka sangat ganas dan berbahaya. – Bernama, 1 Februari, 2020.