Prof Dr. Aziz Bari Antara Ahli Baru Lembaga Pengarah USAS

Reading Time: 2 minutes

IPOH: Lembaga Pengarah Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) mengumumkan pelantikan ahli-ahli baru Lembaga Pengarah Universiti khususnya Pengerusi baharu, Tan Sri Dr. Wan Mohd Zahid Mohd. Noordin selain Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi Sains dan Alam Sekitar Negeri, Dr Abdul Aziz Bari,  Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty dan Datuk Kamel Mohamad.

Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) juga menyangkal dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari bahawa terdapat salah guna kuasa tanah milik institusi pengajian tinggi (IPT) itu.

Lembaga Pengarah USAS Berhad dalam kenyataannya pada Khamis berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh Abdul Aziz itu dibuat sebelum beliau mendengar taklimat penuh penyiasatan oleh firma audit bebas, Pricewaterhouse Coopers Risk Services Sdn. Bhd. (PwC).

Justeru itu katanya, kenyataan oleh Abdul Aziz yang juga ahli baharu Lembaga Pengarah Universiti (LPU) itu hendaklah diabaikan.

“Kami amat komited dalam memastikan institusi akademik ini mengamalkan urus tadbir terbaik dan keputusan ini dibuat dengan hasrat serta niat yang tinggi untuk memenuhi tanggungjawab tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan tersebut, Jawatankuasa Lembaga Penyiasatan yang ditubuhkan pada 13 Julai lalu telah menyempurnakan kajian penyiasatan tentang dakwaan bertarikh 27 dan 28 Jun lalu berhubung salah urus USAS oleh ahli-ahli kesatuan universiti.

Ujarnya, PwC yang dilantik itu telah mengemukakan hasil penemuan kajian yang mana telah mengenal pasti beberapa ruang dan kelemahan tadbir urus universiti berkenaan.

“Lembaga Pengarah telah berbincang dengan Pengurusan Eksekutif universiti untuk merangka pelan penambahbaikan dengan segera dan juga mengukuhkan rangka kerja tadbir urus dalaman serta proses-proses pengurusan sebagai langkah ke hadapan.

“Kami menerima komitmen yang tinggi daripada Pengurusan Eksekutif universiti dalam menangani isu-isu yang dikenal pasti oleh PwC malah Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi juga telah diarahkan untuk kembali bertugas daripada cuti sukarela berkuatkuasa 1 Februari lalu dengan ditugaskan untuk melaksanakan pelan-pelan penambah-baikan di bawah pengawasan Lembaga Pengarah USAS,” katanya.

Tambah kenyataan itu, mereka juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terutama kepada bekas Pengerusi LPU, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan ahli-ahli penggal terdahulu.

“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mereka yang telah berkhidmat dengan cemerlang kepada institusi ini tanpa mengenal penat lelah terutamanya dalam usaha menaik taraf Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) menjadi universiti penuh pada tahun 2016,” katanya.